TG Telegram Group Link
Channel: 1 Hari 1 Hadis
Back to Bottom
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jangan Saling Bermusuh

عَنْ أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تَبَاغَضُوا وَلَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا وَلَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلَاثَةِ أَيَّام

Daripada Anas bin Malik RA, Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: "Janganlah kamu saling membenci, jangan saling iri hati, jangan saling bermusuhan, jangan saling memutuskan hubungan dan jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Muslim untuk menjauhi saudaranya lebih dari tiga hari" (Sahih Bukhari No: 5718) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Umat Islam dilarang saling membenci sesama mereka

2.  Sifat iri hati dan cemburu kepada kelebihan yang ada pada orang lain perlu dijauhi. Elakkan saling berdengki sesama Muslim

3.  Sifat bermusuhan dengan sesama Muslim adalah dilarang kerana setiap Muslim adalah bersaudara.

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبْغَضُ الرِّجَالِ إِلَى اللَّهِ الْأَلَدُّ الْخَصِمُ

Daripada Aisyah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: Manusia yang paling dibenci Allah adalah yang keras kepala dan suka bermusuh" (Sahih Bukhari No: 6765) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

4.  Sebagai Muslim, kita boleh berbeza pandangan namun perlu saling memaafkan. Berusahalah mencari titik persamaan.

5.  Elakkan diri kita daripada tidak bertegur atau menjauhi saudara Muslim melebihi tiga hari.

Jauhi sikap bermusuh, benci dan dengki. Binalah ukhuwah melalui sifat saling berkasih sayang.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

26hb April 2024
17hb Syawal 1445H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
hottg.com/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Segera Mohon Maaf

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ  قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَنْ كَانَتْ لَهُ مَظْلَمَةٌ لِأَخِيهِ مِنْ عِرْضِهِ أَوْ شَيْءٍ فَلْيَتَحَلَّلْهُ مِنْهُ اليَوْمَ  قَبْلَ أَنْ لاَ يَكُونَ دِينَارٌ وَلاَ دِرْهَمٌ  إِنْ كَانَ لَهُ عَمَلٌ صَالِحٌ أُخِذَ مِنْهُ بِقَدْرِ مَظْلَمَتِهِ  وَإِنْ لَمْ تَكُنْ لَهُ حَسَنَاتٌ أُخِذَ مِنْ سَيِّئَاتِ صَاحِبِهِ فَحُمِلَ عَلَيْهِ

Daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa pernah melakukan kesalahan terhadap saudaranya, sama ada yang berkait dengan kehormatannya atau hartanya, hendaklah dia segera meminta dihalalkan kepadanya hari ini (di dunia) sebelum datang suatu hari yang sudah tidak ada lagi dinar dan dirham (hari Kiamat). Ketika itu, jika dia memiliki amalan soleh, amalan solehnya diambil darinya dan diserahkan kepada saudaranya sesuai dengan kadar pelanggaran yang pernah diperbuatnya. Namun, jika dia tidak memiliki amal-amal kebaikan, kesalahan-kesalahan saudaranya itu diambil, lalu dipikulkan kepadanya. (HR Bukhari No: 2282) Status Hadis Sahih.

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim perlu sentiasa berusaha menghindarkan diri dari melakukan dosa dan maksiat sama ada kepada Allah mahupun sesama manusia lain.

2.  Barangsiapa yang pernah melakukan kesalahan terhadap orang lain,  sama ada yang berkait dengan kehormatannya atau hartanya, hendaklah dia segera meminta maaf semasa hidup.

3.  Jika dosa seseorang terhadap orang lain tidak dimaafkan, dibimbangi ia menjadi hutang yang perlu dibayar dengan pahala amalan solehnya di akhirat nanti.

4.  Jika amal kebaikan yang dimiliki telah habis kerana membayar hutang kepada orang lain, maka dosa saudaranya itu akan dipikulkan kepadanya.

5.  Ingatlah firman Allah SWT:

ثُمَّ إِنَّكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ عِندَ رَبِّكُمْ تَخْتَصِمُونَ

Maksudnya: Kemudian, sesungguhnya kamu semua, pada hari kiamat, akan bertengkar berhujah di hadapan Tuhan kamu.(Surah al-Zumar : 31)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Zubair bin Awwam, dia berkata: Ketika turunnya ayat 31 Surah al-Zumar (di atas), Zubair bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah perkara yang terjadi di antara kita di dunia akan diungkit kembali di samping dosa-dosa peribadi?” Baginda SAW menjawab:

نَعَمْ لَيُكَرَّرَنَّ عَلَيْكُمْ حَتَّى يُؤَدَّى إِلَى كُلِّ ذِي حَقٍّ حَقُّهُ

Maksudnya: Ya, benar. Semuanya akan diungkit semula sehingga setiap orang memperoleh hak yang semestinya. (HR: Tirmizi No: 3236)

Imam al-Suyuti ketika mengulas ayat ini berkata: “Orang yang dizalimi menuntut (haknya) daripada orang yang zalim, orang yang dhaif menuntut haknya daripada orang yang menindas, sehinggalah setiap mereka dipulangkan hak-hak mereka. Apabila telah dipulangkan hak masing-masing, maka diperintahkan kepada ahli syurga untuk masuk ke syurga manakala ahli neraka untuk masuk ke dalam neraka.” (Lihat al-Durr al-Manthur fi al-Ta’wil bi al-Ma’thur, 4/16)

Semoga kita tidak memandang mudah dosa yang kita lakukan kepada orang lain semasa di dunia seperti dosa memfitnah, mengumpat melalui media sosial yang dengan mudah tersebar keseluruh dunia. Jika kita berdosa, maka bersegeralah meminta maaf dan tidak mengulangi lagi.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

27hb April 2024
18hb Syawal 1445H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
hottg.com/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Berakhlak Dalam Pertuturan

عَنْ عَائِشَةَ  رضي الله عنها قَالَتْ : اسْتَأْذَنَ رَهْطٌ مِنَ الْيَهُودِ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالُوا : السَّامُ عَلَيْكُمْ  فَقَالَتْ عَائِشَةُ : بَلْ عَلَيْكُمُ السَّامُ وَاللَّعْنَةُ  فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : يَا عَائِشَةُ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الرِّفْقَ فِي الْأَمْرِ كُلِّهِ قَالَتْ : أَلَمْ تَسْمَعْ مَا قَالُوا  قَالَ : قَدْ قُلْتُ وَعَلَيْكُمْ

Daripada Aisyah RA berkata, sekumpulan orang Yahudi meminta izin untuk bertemu baginda lalu mereka mengucapkan: Assam ‘alaikum (Mati ke atas kamu). Aku (Aisyah) berkata: Ke atas kamu mati dan laknat! Lalu baginda menegur: Wahai Aisyah, sesungguhnya Allah itu penyantun menyukai kesantunan dalam semua perkara.” ‘Aku (Aisyah) bertanya: Kamu tak dengarkah apa yang mereka sebut? Baginda berkata: Ya, aku sudah jawab Wa a’laikum (ke atas kamu juga).(Sahih Bukhari no: 6927) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam agama rahmah yang mengajar umatnya berakhlak mulia dalam perbuatan, pertuturan mahupun penulisan.

2.  Islam mengajar umatnya sentiasa menunjukkan akhlak yang mulia dengan bersikap lunak dan santun kerana Allah itu menyukai kesantunan dalam semua perkara.

3.  Rasulullah SAW menegur perbuatan Aisyah RA yang membalas ucapan Yahudi yang memberi salam kepada Rasulullah SAW dengan ucapan Assam ‘alaikum yang membawa maksud buruk iaitu “Mati ke atas kamu”. Aisyah membalas dengan Alaikum sam wa laknatu membawa maksud  “Ke atas kamu mati dan laknat!”

4.  Islam mengajar kita memelihara tutur kata yang baik-baik dan jangan sampai dipengaruhi oleh syaitan dalam mengeluarkan kata-kata sama ada dalam percakapan mahupun penulisan. Firman Allah:

وَقُل لِّعِبَادِي يَقُولُواْ ٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُۚ إِنَّ ٱلشَّيۡطَٰنَ يَنزَغُ بَيۡنَهُمۡۚ إِنَّ ٱلشَّيۡطَٰنَ كَانَ لِلۡإِنسَٰنِ عَدُوّٗا مُّبِينٗا

“Dan katakanlah (Wahai Muhammad) kepada hamba-hamba-Ku (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut antara mereka, sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.” (al-Isra: 53).

Kata Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini: “Allah memerintah Rasulullah SAW memberitahu kepada hamba-hamba Allah agar berkata dalam ucapan dan perbincangan mereka ungkapan yang terbaik dan kalimat yang baik. Jika itu tidak dilakukan, syaitan akan menghasut mereka. Maka ucapan itu akan membawa tindak balas, berlaku keburukan, permusuhan dan peperangan.” (Ibn Kathir, 5/87. Mekah: Dar al-Taybah).

5.  Seseorang boleh, bahkan disuruh menegur ataupun mengkritik sesuatu perkara yang salah. Namun, Islam mengajar agar kita berdisiplin dalam ucapan dan tulisan kita. Jangan sekali-kali menggunakan bahasa yang buruk dan kotor. Malangnya rata-rata di media sosial hari ini komen berbentuk celaan, makian, umpatan serta fitnah.

Orang yang suka memaki orang lain merupakan golongan yang fasik (golongan pendosa). Mereka bukanlah penegak agama sebaliknya untuk memenuhi kehendak nafsu sendiri dan dipengaruhi syaitan.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

28hb April 2024
19hb Syawal 1445H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
hottg.com/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jauhi Prasangka Dan Mencari Aib Orang

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِيَّاكُمْ وَالظَّنَّ فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الْحَدِيثِ وَلَا تَحَسَّسُوا وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَلَا تَبَاغَضُوا وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: "Jauhilah prasangka buruk, kerana prasangka buruk adalah ucapan yang paling dusta, janganlah kalian saling mendiamkan, janganlah suka mencari-cari isu, saling mendengki, saling membelakangi, serta saling membenci, tetapi, jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara." (HR Bukhari No: 5604) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Orang beriman dilarang menaruh prasangka buruk kepada orang lain kerana ia akan mendorong kepada perbuatan menuduh tanpa bukti yang menjadi dosa besar. Ibnu Sirin berkata: “Jika sampai kepadamu berita yang tidak kamu sukai tentang saudaramu, maka carilah uzur untuknya. Jika kamu tidak mendapati uzur maka katakan, barangkali dia memiliki uzur yang aku tidak mengetahuinya.

2.  Islam menyuruh agar tidak mendiamkan diri jika kemungkaran berlaku di hadapan kita dengan mencegah atau menasihat dengan hikmah mengikut kemampuan.

3.  Muslim dilarang mencari-cari isu atau kelemahan orang lain. Lebih-lebih lagi isu atau kelemahan itu ditulis dan ditularkan di media elektronik seperti FB, Whatsapp, telegram dan sebagainya hingga mengaibkan peribadi seseorang.

4.  Setiap kita juga dilarang saling mendengki, saling membelakangi, serta saling membenci. Raikanlah perbezaan yang ada pada kita dengan saling bermaafan.

5.  Setiap Muslim dituntut agar berusaha menjaga tali persaudaraan sesama Muslim.

Menjaga persaudaraan itu wajib seperti wajibnya solat dan puasa dengan  menjauhi sangka buruk, tidak mencari kelemahan dan aib orang lain, jangan berdengki, elakkan membenci, tidak membelakangkan orang lain dan bantu sahabat dengan mencegah dia dari melakukan maksiat.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

29hb April 2024
20hb Syawal 1445H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
hottg.com/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Allah Membuka Aib Kepada Pembuka Aib

عَنْ أَبِي بَرْزَةَ الْأَسْلَمِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا مَعْشَرَ مَنْ آمَنَ بِلِسَانِهِ وَلَمْ يَدْخُلْ الْإِيمَانُ قَلْبَهُ لَا تَغْتَابُوا الْمُسْلِمِينَ وَلَا تَتَّبِعُوا عَوْرَاتِهِمْ فَإِنَّهُ مَنْ اتَّبَعَ عَوْرَاتِهِمْ يَتَّبِعُ اللَّهُ عَوْرَتَهُ وَمَنْ يَتَّبِعْ اللَّهُ عَوْرَتَهُ يَفْضَحْهُ فِي بَيْتِهِ

Daripada Abu Barzah Al Aslami ia berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Wahai orang-orang yang beriman dengan lisannya namun keimanannya belum masuk ke dalam hatinya, janganlah kalian mengumpat seorang muslim dan jangan pula mencari-cari kesalahannya. Sebab siapa saja yang mencari-cari kesalahan orang lain, maka Allah akan mencari-cari kesalahannya. Maka siapa saja yang Allah telah mencari-cari kesalahannya, Allah tetap akan menampakkan kesalahannya meskipun ia ada di dalam rumahnya." (Sunan Abu Daud No: 4236) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Orang yang beriman wajib memelihara lisannya dari mengumpat dan mencari kelemahan orang lain, sama ada sesuatu yang dituturkan mahupun yang diterjemahkan dalam bentuk tulisan, lukisan mahupun video.

2.  Islam adalah agama rahmah yang mengajar umatnya untuk tidak mengumpat dan membuka aib orang lain.

3.  Sesiapa yang menutup aib saudaranya sesama muslim, nescaya Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Rasulullah bersabda:

مَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ

Maksudnya: "Barang siapa menutupi aib seorang muslim, maka Allah akan menutupi aib orang tersebut di dunia dan akhirat." (Sunan Ibnu Majah)

4.  Barangsiapa yang mencari-cari kesalahan saudara muslimnya, maka Allah akan membuka kesalahan dan aibnya walaupun yang ada di dalam rumahnya.

5.  Orang yang gemar membicarakan aib orang lain, sebenarnya tanpa ia sedari ia sedang memperlihatkan jati dirinya yang asli. Semakin banyak aib yang ia sebarkan, maka semakin jelas keburukan diri si penyebar itu. Allah mengingatkan dengan nada keras kepada golongan ini:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ ٱلۡفَٰحِشَةُ فِي ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ فِي ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأٓخِرَةِۚ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ ١٩

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian). (An-Nur: 19)

Kepada pencela, pengumpat dan pembuka aib orang lain, ingatlah azab Allah akan mereka terima di dunia dan akhirat.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

30hb April 2024
21hb Syawal 1445H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
hottg.com/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Pekerjaan Paling Baik

عن سعيد بن عمير الأنصاري قال : سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- أَىُّ الْكَسْبِ أَطْيَبُ قَالَ : عَمَلُ الرَّجُلِ بِيَدِهِ وَكُلُّ بَيْعٍ مَبْرُورٍ

Daripada Said bin Amir al-Ansari berkata, Rasulullah SAW ditanya, “Pekerjaan apakah yang paling baik?” Baginda menjawab, “Pekerjaan seseorang dengan tangannya sendiri dan setiap perniagaan yang baik.” (HR. Baihaqi No: 1222) Status: Sahih lighairihi

Pengajaran:

1.  Setiap kita wajib melakukan usaha dan ikhtiar bekerja mencari nafkah dan perbelanjaan kehidupan.

2.  Sumber nafkah hendaklah diperoleh daripada sumber yang halal dan diharuskan syarak.

3.  Pekerjaan yang paling baik ialah yang dilakukan dengan tangan sendiri juga perniagaan yang halal.

4.  Pekerjaan dengan tangan sendiri bermaksud pekerjaan yang dilakukan seseorang tanpa meminta-minta. Pekerjaan tersebut termasuk yang menggunakan tulang empat kerat seperti buruh, tukang, operator juga yang menggunakan kelayakan akademik seperti doktor, guru, pegawai tadbir dan yang lain-lain.

5.  Perniagaan yang baik bermaksud perniagaan atau perusahaan yang bersih dari penipuan dan kecurangan. Baik kecurangan timbangan mahupun kecurangan dengan menyembunyikan cacatnya barang yang dijual.

Selamat Hari Pekerja. Pekerja Kesuma Bangsa.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

01hb Mei 2024
22hb Syawal 1445H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
hottg.com/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jujur Dengan Upah, Jangan Khianat

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ بُرَيْدَةَ عَنْ أَبِيهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ اسْتَعْمَلْنَاهُ عَلَى عَمَلٍ فَرَزَقْنَاهُ رِزْقًا فَمَا أَخَذَ بَعْدَ ذَلِكَ فَهُوَ غُلُولٌ

Daripada Abdullah bin Buraidah RA dari ayahnya, dari Nabi SAW baginda bersabda: Barangsiapa yang telah kami ambil untuk melakukan sesuatu kerja, dan telah ditetapkan baginya sesuatu rezeki (gaji atau upah), maka apa yang diambilnya selepas itu adalah ghulul (pengkhianatan) " (HR Abu Daud, no 2943) Status: Hadis Sahih; Ma'alim as-Sunan, Al-Khattabi, 3/8 cet Dar Kutub Ilmiah)

Pengajaran:

1.  Setiap orang yang dilantik sebagai pekerja dan dibayar gaji oleh majikan hasil daripada pelaksanaan kerja seperti yang dipersetujui, maka pendapatan yang diperolehi adalah bersih dan halal.

2.  Orang yang mengambil upah selain daripada yang ditetapkan oleh majikan yang bukan haknya adalah suatu pengkhianatan.

3.  Pengkhianatan itu boleh dalam pelbagai bentuk seperti wang ringgit, diskaun, komisyen, rebet, bonus, potongan, ‎peratusan, hadiah, kemudahan, jawatan, undi, kontrak, tuntutan palsu, perlepasan, penyelesaian, perlindungan dan sebagainya.

4.  Mereka yang terlibat dengan pengkhianatan ini akan dilaknat oleh Allah SWT dan RasulNya. Daging yang tumbuh dari sumber yang haram, Neraka lebih utama untuknya. Dengan rezeki pengkhianatan tersebut,  akan hilang keberkatan ‎dalam kehidupan. Hidup tidak terdorong ke arah kebajikan dan kebaikan malah terdorong ‎ke arah kemaksiatan dan kejahatan.‎

5. Berjaga-jagalah sesuatu yang diterima berupa hadiah. Saidina Umar al-Khattab turut memperingatkan gejala hadiah ini, “Berjaga-jagalah dengan hadiah kerana ia merupakan rasuah”. Tidak hairanlah Saidina Umar menghantar pulang hadiah anak kaisar Rom kepada isteri Umar dan menegahnya menerima apa-apa hadiah lagi.

6. Saidina Ali pernah mengingatkan: “Zaman akan datang, manusia menghalalkan rasuah dengan (nama) hadiah”.

7. Dalam Nihayah al-Muhtaj menyebut, “Menutup pintu menerima (hadiah) secara mutlak adalah terlebih awla (terbaik), bagi menutup pintu (perselisihan)”.

Dalam kita membina Negara Malaysia yang harmoni dan Sejahtera, setiap kita khususnya pekerja dan pemimpin dapat melaksanakan tugas dengan penuh kejujuran. Jangan sesekali berlaku khianat. Pekerja Kesuma Bangsa.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

02hb Mei 2024
23hb Syawal 1445H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
hottg.com/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jadilah Pemberi Bukan Peminta

عَنْ حَكِيمِ بْنِ حِزَامٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْيَدُ الْعُلْيَا خَيْرٌ مِنْ الْيَدِ السُّفْلَى وَابْدَأْ بِمَنْ تَعُولُ وَخَيْرُ الصَّدَقَةِ عَنْ ظَهْرِ غِنًى وَمَنْ يَسْتَعْفِفْ يُعِفَّهُ اللَّهُ وَمَنْ يَسْتَغْنِ يُغْنِهِ اللَّهُ

Daripada Hakim bin Hizam RA dari Nabi SAW bersabda: “Tangan yang diatas lebih baik dari pada tangan yang di bawah, maka mulailah untuk orang-orang yang menjadi tanggunganmu dan sedekah yang paling baik adalah dari orang yang sudah cukup (untuk keperluan dirinya). Maka barangsiapa yang berusaha memelihara dirinya, Allah akan memeliharanya dan barangsiapa yang berusaha mencukupkan dirinya maka Allah akan mencukupkannya”. (HR Bukhari No: 1338) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Bersedekah lebih baik daripada meminta-minta.

2.  Menghulurkan sedekah dan sumbangan hendaklah dimulakan terlebih dahulu kepada ahli keluarga yang menjadi tanggungan kita.

3.  Sedekah yang paling baik adalah lebihan daripada keperluan asas seseorang.

4.  Berusahalah mencari rezeki sebaik mungkin dan elakkan diri dari meminta-minta atau mengharap belas kasihan orang lain.

5.  Allah akan memelihara dan mencukupkan keperluan kepada orang yang berusaha dan bekerja mencari rezeki tanpa meminta-minta.

6.  Nabi SAW mencela orang yang suka meminta-minta (mengemis) kerana perbuatan tersebut merendahkan martabat kehormatan manusia. Padahal Allah sendiri sudah memuliakan manusia, seperti terungkap melalui firman-Nya:

وَلَقَدْ كَرَمْنَا بَنِى اَدَم وَحَمْلنَاهُمْ فىِ اْلبَرِّ وَاْلبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُمْ مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَلْنَاهُمْ عَلَى كَثِيْرٍ مِمَنْ خَلَقْنَا تَفْضِيْلاً

Maksudnya: Dan sesungguhnya telah kami muliakan anak-anak Adam. Kami angkat mereka di daratan dan di lautan. Kami berikan mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas  kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.” (Surah Al-Isra’ Ayat: 70).

7.  Jangan sengaja menjadi peminta. Ingatlah amaran Nabi SAW seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

مَنْ سَأَلَ النَّاسَ أَمْوَالَهُمْ تَكَثُّرًا  فَإِنَّمَا يَسْأَلُ جَمْرًا فَلْيَسْتَقِلَّ أَوْ لِيَسْتَكْثِرْ

Barangsiapa meminta harta kepada orang lain untuk memperkaya diri, maka sungguh, ia hanyalah meminta bara api, maka silakan ia meminta sedikit atau banyak (HR. Muslim (no. 1041)

8.  Lakukanlah apa juga pekerjaan yang halal dan baik seperti bertani, berniaga, mengutip tin kosong dan menjualnya, bertukang, menjadi pelayan, kerja kilang dan sebagainya untuk keperluan hidup, jangan sekali-kali mengharapkan pemberian orang lain. Pekerja Kesuma Bangsa.

Jadilah Kita Pemberi Bukan Orang Yang Mengharap Pemberian Orang Lain.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

03hb Mei 2024
24hb Syawal 1445H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
hottg.com/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Awal Pagi Waktu Barakah

عَنْ صَخْرٍ الْغَامِدِيِّ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اللَّهُمَّ بَارِكْ لِأُمَّتِي فِي بُكُورِهَا وَكَانَ إِذَا بَعَثَ سَرِيَّةً أَوْ جَيْشًا بَعَثَهُمْ مِنْ أَوَّلِ النَّهَارِ وَكَانَ صَخْرٌ رَجُلًا تَاجِرًا وَكَانَ يَبْعَثُ تِجَارَتَهُ مِنْ أَوَّلِ النَّهَارِ فَأَثْرَى وَكَثُرَ مَالُهُ
قَالَ أَبُو دَاوُد وَهُوَ صَخْرُ بْنُ وَدَاعَةَ

Daripada Shakhr Al Ghamidi, dari Nabi SAW, baginda mengucapkan: "ALLAAHUMMA BAARIK LI UMMATII FII BUKUURIHAA (Ya Allah, berkatilah bagi umatku di awal pagi hari mereka). Dan baginda apabila mengirim expedisi atau pasukan baginda mengirim mereka di awal siang (awal pagi). Dan Shakhr adalah seorang pedagang dan ia mengirim perdagangannya di awal siang, maka hartanya bertambah banyak. Abu Daud berkata; ia adalah Shakhr bin Wada'ah. (Sunan Abu Daud No: 2239) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Awal pagi adalah waktu yang banyak keberkatan dari Allah.

2.  Rasulullah mendoakan umatnya keberkatan pada setiap waktu pagi.

اللَّهُمَّ بَارِكْ لِأُمَّتِي فِي بُكُورِهَا

(Ya Allah, berkatilah bagi umatku di awal pagi hari mereka)

3.  Perkataan bukur (بُكُور ) bermaksud awal pagi sehingga terbitnya matahari. Syeikh Abu Usamah Salim dalam syarah Riyad as-Salihin menyatakan: waktu yang terbaik dan berkat. Menghidupkan waktu pagi merupakan sunah Nabi SAW dan amalan orang yang berjaya.

4.  Hadis ini menunjukkan bahawa waktu awal pagi adalah waktu penting untuk melaksanakan kerja-kerja penting dan utama. Elakkan waktu awal pagi dengan kerja yang kurang manfaatnya seperti tidur selepas subuh.

5.  Shakhr al-Ghamidi menjadi kaya raya dan banyak harta antaranya kerana ia mengikut sunah Nabi SAW dengan memulakan perniagaan di awal pagi.

6.  Waktu sebelum terbitnya matahari umpama waktu rezeki diluluskan manakala apabila terbitnya matahari, waktu rezeki diagih-agihkan.

Rebut dan manfaatkan waktu penuh keberkatan di awal pagi dengan melakukan kerja bermanfaat seperti waktu untuk belajar, waktu untuk bekerja dan memulakan perniagaan. Pekerja Kesuma Bangsa.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

04hb Mei 2024
25hb Syawal 1445H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
hottg.com/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Bersedekah Semampu Mungkin

عَنْ سَعِيدُ بْنُ أَبِي بُرْدَةَ عَنْ جَدِّهِ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ صَدَقَةٌ قَالُوا فَإِنْ لَمْ يَجِدْ قَالَ فَيَعْمَلُ بِيَدَيْهِ فَيَنْفَعُ نَفْسَهُ وَيَتَصَدَّقُ قَالُوا فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ أَوْ لَمْ يَفْعَلْ قَالَ فَيُعِينُ ذَا الْحَاجَةِ الْمَلْهُوفَ قَالُوا فَإِنْ لَمْ يَفْعَلْ قَالَ فَيَأْمُرُ بِالْخَيْرِ أَوْ قَالَ بِالْمَعْرُوفِ قَالَ فَإِنْ لَمْ يَفْعَلْ قَالَ فَيُمْسِكُ عَنْ الشَّرِّ فَإِنَّهُ لَهُ صَدَقَة

Daripada Said bin Abi Burdah, dari datuknya berkata, Nabi SAW bersabda: "Wajib bagi setiap muslim untuk bersedekah." Para sahabat bertanya; "Bagaimana jika ia tidak mempunyai apa-apa? ' Baginda bersabda: Hendaklah dia bekerja dengan kedua-dua tangannya, sehingga ia boleh memberi manfaat untuk dirinya dan bersedekah.' Mereka bertanya lagi; 'Bagaimana jika ia tidak boleh melakukannya? ' Baginda bersabda: Hendaklah dia menolong orang yang kesusahan atau sangat memerlukan bantuan.' Mereka bertanya lagi; 'Bagaimana jika ia tidak mampu melakukannya? ' Baginda bersabda: Suruhlah orang melakukan kebaikan atau; menyuruh melakukan yang makruf'. Mereka bertanya lagi; 'Bagaimana jika ia tidak dapat melakukannya? ' Baginda bersabda: Tahanlah dirimu diri dari kejahatan, kerana itu juga adalah sedekah baginya.' (HR Bukhari No: 5563) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW mengajar umatnya agar menjadi insan yang berguna, sentiasa memberi bukan mengharap pemberian.

2.  Pemberian tidak semestinya dalam bentuk kebendaan. Sumbangan boleh dalam bentuk tenaga, harta, ilmu, kemahiran, nasihat yang berguna, buah fikiran yang baik, kepakaran yang dimiliki dan sebagainya.

3.  Setiap Muslim perlu bekerja, agar ia memperoleh hasil yang dengannya ia mampu mengurus dirinya dan menyumbang untuk orang lain, serta menjauhkannya dari kehinaan meminta-minta.

4.  Bersedekah dan menyumbang menjadi bukti kebenaran iman seseorang. Sebagai muslim wajar bersedekah atau menyumbang sesuai dengan potensi dan kemampuan masing-masing, perlu bersegera jangan menunda, bimbang kematian menjemput kita.

5.  Jika ia tidak mampu membantu keperluan orang lain dalam bentuk harta, menjadi sedekah juga bagi kita apabila dapat  menyuruh kepada kebaikan. Berdakwah melalui pelbagai relong – berceramah, edar pamplet, forward 1 hari 1 hadis. Ini juga sedekah!

6.  Jika tidak ada apa-apa yang boleh diberikan untuk kebaikan orang lain, maka tahan diri dari melakukan sebarang kejahatan. Kejahatan amat luas pengetiannya. Ia merangkumi kezaliman dengan mencerobohi nyawa, maruah, harta orang lain sama ada dengan perbuatan, perkataan, memek muka, tulisan, gambar, atau menyimpan dendam serta buruk sangka terhadap sesama manusia. Jadi apabila Nabi SAW bersabda “tahan dirimu dari kejahatan” bererti mendidik diri agar menjauhi kejahatan lahir dan batin.

7.  Rasulullah SAW mengajar kepada kita adab dan akhlak mulia. Diajukan kepadanya soalan bertubi-tubi, namun setiap satunya dilayani dan dijawab dengan tenang tanpa mengherdik atau merendah-rendahkan si penanya.

Pekerja Kesuma Bangsa

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

05hb Mei 2024
26hb Syawal 1445H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
hottg.com/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Muslim Yang Menyelamatkan

عَنْ أَبِي مُوسَى رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الْإِسْلَامِ أَفْضَلُ قَالَ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

Daripada Abu Musa RA berkata: 'Wahai Rasulullah, Islam manakah yang paling utama?" Rasulullah SAW menjawab: "Siapa yang kaum Muslimin selamat dari lisan dan tangannya". (Sahih Bukhari No: 10) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam mengajar umatnya agar sentiasa memiliki akhlak yang mulia.

2.  Menjaga lisan daripada menuturkan sesuatu yang buruk terhadap orang Islam lain seperti mengumpat, menghina, mencela, mengadu domba dan lain-lain adalah dituntut.

3.  Memelihara tangan dari melakukan perbuatan keji dan menyakiti Muslim lain bukan hanya memukul malah termasuk menulis, memforward sesuatu yang berbentuk fitnah, menghina, mengadu domba dan lain-lain adalah dilarang.

4.  Mudahnya orang pada hari ini melakukan dosa besar yang diterjemahkan dalam bentuk tulisan sesuatu yang mengaibkan peribadi seseorang, mengumpat, memfitnah, mengadu domba di media elektronik dan diviralkan seperti TikTok, FB, WhatsApp, telegram, tanpa sedikitpun terdetik dihati bahawa apa yang diperkatakan, yang ditulis akan diminta pertanggungjawab dihadapan Allah. Firman Allah:

إِنَّ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡبَصَرَ وَٱلۡفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَٰئِكَ كَانَ عَنۡهُ مَسۡ‍ُٔولٗا

“Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati nurani, semua anggota itu tetap akan diminta pertanggungjawabannya (ditanya di akhirat) tentang apa yang dilakukannya.” (Surah Al-Isra 17 ; Ayat 36)

5.  Imam al-Khaththabi rahimahullâh berkata, hadis ini bermaksud bahawa kaum muslimin yang paling utama adalah orang yang selain menunaikan hak-hak Allah  dengan baik, dia juga dituntut menunaikan hak-hak sesama kaum muslimin dengan baik pula.

6.  Muslim yang paling utama ialah yang lisan dan tangannya menyelamatkan dirinya dan Muslim yang lain.

Berusahalah menjadi insan yang baik dan soleh dengan menjaga lisan dan tangan kita.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

06hb Mei 2024
27hb Syawal 1445H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
hottg.com/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Elakkan Perkataan Penyebab Ke Neraka

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مَا يَتَبَيَّنُ مَا فِيهَا يَهْوِي بِهَا فِي النَّارِ أَبْعَدَ مَا بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ.

Daripada Abu Hurairah RA,  bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya seseorang hamba apabila mengucapkan sesuatu perkataan tanpa diteliti akan kebenarannya, akan membuatkannya terjerumus ke dalam neraka yang dalamnya sejauh antara jarak timur ke barat." (HR Bukhari No. 6477) Status Hadis Sahih

Pengajaran

1.  Lidah adalah anggota anugerah Allah yang boleh mengeluarkan sesuatu perkataan ataupun ungkapan daripada seseorang. Perkataan atau ucapan tersebut boleh menjadi satu kebenaran dan boleh juga menjadi satu pembohongan, umpatan mahupun fitnah.

2.  Rasulullah SAW mengingatkan agar setiap Muslim menjaga setiap perkara yang diucapkan oleh lidah. Ucapan yang benar lagi memberikan kesan yang baik akan mendatangkan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah SWT dan menjadi sebab seseorang dimasukkan ke dalam syurga.

3. Adakalanya ucapan yang benar tetapi dengan sebab tidak diselidiki adakah perkataan itu akan memberikan kesan yang baik ataupun buruk maka ia mungkin menjadi punca yang memasukkannya ke dalam neraka. Apatah lagi jika sesuatu ucapan yang buruk seperti mengeji, memfitnah, mengaibkan orang lain, berbohong dan seumpamanya pasti akan menyebabkan kehancurannya dan ianya adalah haram lagi berdosa.

4.  Kita hendaklah menilai setiap perkataan yang akan diucapkan walaupun baik, adakah ianya perlu? Adakah ianya akan mendatangkan kebaikan? Atau  mendatangkan keburukan? Janganlah kerana keterlanjuran lidah, kita menjadi berdosa yang akan menatijahkan neraka sebagai tempat pembalasan.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

07hb Mei 2024
28hb Syawal 1445H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
hottg.com/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Mohon Perlindungan Daripada Keburukan Amalan

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ :كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: اللَّهُمَّ أَصْلِحْ لِي دِينِي الَّذِي هُوَ عِصْمَةُ أَمْرِي وَأَصْلِحْ لِي دُنْيَايَ الَّتِي فِيهَا مَعَاشِي وَأَصْلِحْ لِي آخِرَتِي الَّتِي فِيهَا مَعَادِي وَاجْعَلْ الْحَيَاةَ زِيَادَةً لِي فِي كُلِّ خَيْرٍ وَاجْعَلْ الْمَوْتَ رَاحَةً لِي مِنْ كُلِّ شَرٍّ.

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata: "Adalah Rasulullah SAW sering berdoa: Ya Allah, perbaikilah bagiku agamaku yang menjadi benteng pelindung urusanku, perbaikilah bagiku duniaku yang menjadi tempat kehidupanku, perbaikilah bagiku akhiratku yang menjadi tempat kembaliku. Jadikanlah baki kehidupan ini sebagai tambahan (peluang) bagiku dalam segala kebaikan dan jadikanlah kematian sebagai kebebasanku daripada segala kejahatan". (HR Muslim No: 2720) Status: Hadis Sahih

Pengajaran

1.  Doa adalah senjata bagi orang mukmin. Menjadi kewajipan kita untuk berdoa memohon kebaikan dalam hidup sama ada di dunia juga di akhirat.

2.  Antara permohon dalam doa kita adalah agar diperbaiki amalan agama kerana agama adalah cara hidup yang menjadi panduan kita menuju jalan kebenaran. Hanya dengan berpegang teguh kepada ajaran Islam sahajalah manusia itu akan mendapat kebahagian di dunia mahupun di akhirat.

3.  Allah turunkan agama untuk menjadi benteng yang melindungi seseorang agar tidak tergelincir dan terjerumus dalam kesalahan dan maksiat. Ia menjaga manusia daripada kesesatan dan mengikut hawa nafsu dalam mengabdikan diri kepada Allah SWT.

4.  Sesungguhnya Allah SWT menjadikan kehidupan dunia sebagai tempat persinggahan untuk hamba-Nya memperbanyakkan amal soleh sebagai bekalan kehidupan di akhirat yang kekal abadi.

5.  Allah SWT telah menetapkan ajal dan maut setiap insan. Justeru, jika Allah SWT memberikan baki kehidupan ke atas hamba-Nya, ia adalah peluang untuknya menambah amal soleh. Namun jika dihabiskannya dalam kemaksiatan maka sesungguhnya kematian itu adalah pembebasan dan penamat baginya daripada segala kejahatan. Oleh itu, sentiasalah berdoa agar Allah memperbaiki urusan kita di dunia dan di akhirat.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

08hb Mei 2024
29hb Syawal 1445H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
hottg.com/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Doa Bermusafir

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا اسْتَوَى عَلَى بَعِيرِهِ خَارِجًا إِلَى سَفَرٍ كَبَّرَ ثَلَاثًا ثُمَّ قَالَ: سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ اللهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ فِي سَفَرِنَا هَذَا الْبِرَّ وَالتَّقْوَى وَمِنَ الْعَمَلِ مَا تَرْضَى اللهُمَّ هَوِّنْ عَلَيْنَا سَفَرَنَا هَذَا وَاطْوِ عَنَّا بُعْدَهُ اللهُمَّ أَنْتَ الصَّاحِبُ فِي السَّفَرِ وَالْخَلِيفَةُ فِي الْأَهْلِ اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ وَعْثَاءِ السَّفَرِ وَكَآبَةِ الْمَنْظَرِ وَسُوءِ الْمُنْقَلَبِ فِي الْمَالِ وَالْأَهْلِ

Daripada Abdullah bin Umar RA, sesungguhnya Rasulullah SAW apabila Baginda duduk di atas tunggangannya dengan tujuan untuk keluar bermusafir, Baginda akan bertakbir sebanyak tiga kali (Allah Maha Besar! Allah Maha Besar! Allah Maha Besar!) Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali. Ya Allah! Kami mohon kepada-Mu agar permusafiran kami ini di atas kebaikan dan ketaqwaan, dan ia dikira sebagai amalan yang Engkau redhai. Ya Allah! kami mohon agar permusafiran ini menjadi mudah ke atas kami, Engkau lipatkanlah jaraknya (supaya menjadi pendek). Ya Allah! Engkaulah Peneman ketika permusafiran dan Penjaga bagi ahli keluarga (yang ditinggalkan). Ya Allah! aku mohon berlindung daripada-Mu agar Engkau peliharalah kami daripada kesusahan ketika musafir, pemandangan yang mendukacitakan dan kepulangan yang buruk pada harta dan keluarga kami.” (HR Muslim No:1342) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah mengajar adab ketika kita melakukan permusafiran dengan membaca doa dan zikir tertentu.

2.  Imam Nawawi berkata: berdasarkan hadis ini, sunat memulakan permusafiran dengan membaca doa ini di samping membanyakkan zikir dan doa agar dipermudahkan permusafiran. Antara doa bermusafir:

سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ اللهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ فِي سَفَرِنَا هَذَا الْبِرَّ وَالتَّقْوَى وَمِنَ الْعَمَلِ مَا تَرْضَى اللهُمَّ هَوِّنْ عَلَيْنَا سَفَرَنَا هَذَا وَاطْوِ عَنَّا بُعْدَهُ اللهُمَّ أَنْتَ الصَّاحِبُ فِي السَّفَرِ وَالْخَلِيفَةُ فِي الْأَهْلِ اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ وَعْثَاءِ السَّفَرِ وَكَآبَةِ الْمَنْظَرِ وَسُوءِ الْمُنْقَلَبِ فِي الْمَالِ وَالْأَهْلِ

3.  Imam al-Baidhawi menyatakan, hadis ini adalah doa bagi tujuan memohon perlindungan daripada segala pemandangan yang mengakibatkan kekecewaan dan daripada kepulangan yang buruk kerana berlaku kekurangan pada harta atau ahli keluarga (seperti kerosakan atau kematian).” [Lihat: Tuhfah al-Abrar, 95/2]

4.  Syeikh al-Sa’di menyatakan di dalam doa ini terkandung permohonan agar dilindungi daripada sebarang kesusahan dan kepayahan, juga dijauhkan daripada perkara yang menyedihkan. Selain itu juga, memohon agar Allah SWT menjaga baginya setiap yang telah ditinggalkan dan setiap yang terpisah disebabkan permusafiran ini daripada ahli keluarga serta harta. [Lihat: Bahjah al-Qulub, 197]

Setiap insan yang beriman memerlukan kepada doa agar setiap perkara yang dilakukan dipelihara oleh Allah SWT serta doa juga merupakan senjata dan kekuatan buat orang yang beriman. Bagi yang akan bermusafir seperti untuk menunaikan ibadat haji juga umrah, untuk pergi bertugas di luar daerah, jangan lupa untuk membaca doa ini.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

09hb Mei 2024
30hb Syawal 1445H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
hottg.com/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Pesanan Untuk Orang Yang Akan Bermusafir

عَنْ سَالِمٍ أَنَّ ابْنَ عُمَرَ كَانَ يَقُولُ لِلرَّجُلِ إِذَا أَرَادَ سَفَرًا ادْنُ مِنِّي أُوَدِّعْكَ كَمَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُوَدِّعُنَا فَيَقُولُ أَسْتَوْدِعُ اللَّهَ دِينَكَ وَأَمَانَتَكَ وَخَوَاتِيمَ عَمَلِكَ

Daripada Salim RA bahawa Ibn Umar RA berkata kepada seseorang apabila hendak melakukan musafir: “Datanglah  kepadaku, aku ingin menyampaikan ucapan perpisahan sebagaimana Rasulullah SAW mengucapkan kepada kami, kemudian beliau mengucapkan:

أَسْتَوْدِعُ اللَّهَ دِينَكَ وَأَمَانَتَكَ وَخَوَاتِيمَ عَمَلِكَ

“Aku menyerahkan kepada Allah urusan agama kamu, amanah kamu dan pengakhiran amalan kamu.” (HR Tirmizi, No. 3443) Status: Hadis Sahih
.
Pengajaran:

1.Musafir adalah perjalanan seseorang daripada satu tempat ke satu tempat yang lain. Contohnya mengerjakan ibadat fardhu haji ke Mekah. Ianya boleh menyebabkan kesulitan dan kemudharatan kerana menimbulkan kesukaran, keletihan dan menghalang keselesaan, kerehatan serta kesempurnaan dalam beribadah sepanjang perjalanan.
 
2.Justeru, Rasulullah SAW telah mengajar para sahabat mengenai sunnah yang sangat baik untuk diamalkan apabila seseorang hendak melakukan musafir ialah mengucapkan doa kepadanya.

أَسْتَوْدِعُ اللَّهَ دِينَكَ وَأَمَانَتَكَ وَخَوَاتِيمَ عَمَلِكَ

“Aku menyerahkan kepada Allah urusan agama kamu, amanah kamu dan pengakhiran amalan kamu.”

3. Terdapat juga dalam hadis Riwayat Anas RA, bahawa seorang lelaki telah datang kepada Nabi SAW memberitahu dia akan bermusafir, lalu Nabi SAW mendoakannya:

زَوَّدَكَ اللَّهُ التَّقْوَى وَغَفَرَ ذَنْبَكَ وَيَسَّرَ لَكَ الْخَيْرَ حَيْثُمَا كُنْتَ

“Semoga Allah SWT membekalkanmu dengan ketaqwaan, mengampunkan dosamu dan Allah memudahkan kebaikan untukmu di mana sahaja kamu berada.” (Sunan Tirmizi No: 3444) Status: Hadis Sahih

4. Kebiasaannya, bermusafir akan menyebabkan hilangnya kesenangan dan keselesaan dalam melakukan amalan harian mahupun beribadah. Oleh sebab itu, Islam telah memberikan rukhsah (keringanan) kepada seseorang yang bermusafir. 

5. Sebagai Muslim hendaklah kita mendoakan orang yang akan bermusafir dan berpesan kepada mereka untuk sentiasa bertaqwa dan menjaga amalan ibadah sepanjang perjalanan tersebut.

6. Sempena musim orang bertolak untuk bermusafir mengerjakan ibadat haji, doakanlah mereka semoga dikurniakan kesihatan yang baik serta kemudahan beribadat sepanjang berada di sana dan mendapat haji yang mabrur.

Mari kita doakan  kepada yang akan menjadi Duyufurrahman (tetamu Allah ke Mekah)  dengan lafaz:

زَوَّدَكَ اللَّهُ التَّقْوَى وَغَفَرَ ذَنْبَكَ وَيَسَّرَ لَكَ الْخَيْرَ حَيْثُمَا كُنْتَ

“Semoga Allah SWT membekalkanmu dengan ketaqwaan, mengampunkan dosamu dan Allah memudahkan kebaikan untukmu di mana sahaja kamu berada.”

اللَّهُمَّ اجْعَلْ حَجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبًا مَغْفُوْرًا

“Semoga Allah menganugerahkan haji yang mabrur, usaha yang disyukuri dan dosa yang diampuni.”

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

10hb Mei 2024
01hb Zulkaedah 1445H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
hottg.com/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Kewajipan Ibadah Haji

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: خَطَبَنَا رَسُولُ اللَّهِ ﷺ فَقَالَ: يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ فَرَضَ اللَّهُ عَلَيْكُمْ الْحَجَّ فَحُجُّوا فَقَالَ رَجُلٌ: أَكَلَّ عَامٍ يَا رَسُولَ اللَّهِ فَسَكَتَ حَتَّى قَالَهَا ثَلَاثًا فَقَالَ النَّبِيُّ ﷺ: لَوْ قُلْتُ نَعَمْ لَوَجَبَتْ وَلَمَا اسْتَطَعْتُمْ

Daripada Abu Hurairah RA, ia berkata, “Rasûlullâh SAW pernah berkhutbah: “Wahai sekalian manusia, Allâh telah mewajibkan haji bagi kalian, maka laksanakanlah ibadat haji.” Seorang laki-laki bertanya, “Wahai Rasûlullâh, apakah setiap tahun (kewajiban mengerjakan ibadat haji)?” Maka baginda diam, sehingga orang tadi bertanya tiga kali. Kemudian Rasûlullâh SAW bersabda, “Jika aku mengatakan ‘ya’, maka tentu wajib (haji setiap tahun), dan kamu tidak mampu.” (Sahih Muslim No: 1337) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Ibadat Haji adalah salah satu daripada rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh setiap Muslim yang mukalaf.

2.Kewajipan ibadat haji hanya sekali seumur hidup bagi yang berkemampuan dan berkuasa.

3.Mereka yang tiada halangan dari sudut wang ringgit, kesihatan mahupun kemudahan untuk mengerjakan ibadat haji, namun masih tidak berusaha menunaikankannya atas alasan "belum sampai seru" dibimbangi jika meninggal dunia dalam keadaan tidak diredhai Allah.

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ لَمْ يَمْنَعْهُ عَنْ الْحَجِّ حَاجَةٌ ظَاهِرَةٌ أَوْ سُلْطَانٌ جَائِرٌ أَوْ مَرَضٌ حَابِسٌ فَمَاتَ وَلَمْ يَحُجَّ فَلْيَمُتْ إِنْ شَاءَ يَهُودِيًّا وَإِنْ شَاءَ نَصْرَانِيًّا

Daripada Abu Umamah, ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa tidak terhalang untuk melakukan haji oleh suatu hajat yang jelas atau oleh penguasa yang zalim atau penyakit yang menahannya, kemudian ia meninggal dunia dan belum melakukan haji, boleh jadi ia meninggal dunia dalam keadaan sebagai Yahudi atau sebagai Nasrani." (HR Darimi No: 1719) Status: Isnad Dhaif

4.Kewajipan menunaikan ibadah haji adalah kepada mereka yang berkuasa mengeluarkan belanja tambang dan segala perbelanjaan lain termasuk mempunyai bekalan dan perbelanjaan yang cukup bagi saraan nafkah orang yang ditinggalkan.

5.Walaupun pada tahun ini ada yang masih belum berpeluang untuk mendapat giliran, paling tidak anda telah berusaha menabung dan mendaftar dengan Tabung Haji sebagai persiapan menunaikannya.

6.Bagi pandangan Imam Ahmad Ibn Hanbal, jika seseorang memiliki lebihan harta seperti harta tak alih (i.e. rumah lebih dari satu, kenderaan lebih dari satu) atau sesuatu yang lebih daripada keperluan, maka wajib ia menjual sebahagian daripadanya untuk keperluan menunaikan haji.

Bersegeralah kita menyediakan kemampuan diri untuk menunaikan ibadah haji dan umrah bagi yang belum menunaikannya. Jika tidak menabung dan mendaftar di Tabung Haji sekarang, bila lagi?. Jangan lupa daftar sekali untuk anak-anak dari awal.

Bagi yang terpilih menunaikan ibadat Haji pada tahun ini, Selamat Berangkat Duyufurrahman (tetamu Allah) dan didoakan moga dikurniakan kesihatan dan kemudahan dan beroleh haji yang Mabrur.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

11hb Mei 2024
02hb Zulkaedah 1445H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
hottg.com/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jangan Tangguh Melaksanakan Ibadah Haji

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَعَجَّلُوا إِلَى الْحَجِّ يَعْنِي الْفَرِيضَةَ فَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَا يَدْرِي مَا يَعْرِضُ لَهُ

Daripada Ibnu Abbas RA, ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Segeralah kamu menunaikan haji (yang wajib) kerana kamu tidak mengetahui apa-apa yang mungkin menimpa” (Musnad Ahmad No: 2721) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Menunaikan ibadat haji suatu kewajipan kepada mereka yang berkuasa dan berkemampuan. Jangan ditangguh dengan sengaja melainkan bersebab yang dibenarkan Syara.

2. Mengikut Imam Shafi’i kewajipan menunaikan haji tidaklah mesti disegerakan tetapi tidak pula bererti boleh dilambatkan.

3. Segera menunaikan haji dalam keadaan kita sihat dan mampu adalah penting sebagai langkah berjaga-jaga. Apatah lagi jika telah mendapat surat tawaran. Jika dilewatkan berkemungkinan ia tidak dapat dilaksanakan langsung kerana luput masa atau berlaku sesuatu bencana.

4.Jika ada kemudahan untuk tidak menunggu giliran yang mungkin lama lagi; contohnya menggunakan package Tabung Hajji yang lebih bayarannya dan kita berkemampuan dari segi kewangan, maka elok diusahakan pemergian itu.

Bagi mereka yang berkemampuan dan berkuasa, jangan tunggu tahun depan atau tahun berikutnya. Kita tak pasti, ketika itu adakah kita masih berkuasa atau berkemampuan?.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

12hb Mei 2024
03hb Zulkaedah 1445H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
hottg.com/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Haji Mabrur Menghapuskan Dosa Seperti Bayi

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ حَجَّ هَذَا الْبَيْتَ فَلَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ رَجَعَ كَمَا وَلَدَتْهُ أُمُّه

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa  melaksanakan ibadat haji semata-mata kerana Allah dan ia tidak menuturkan perkataan keji dan tidak melakukan kefasikan (keluar dari ketaatan) maka ia akan kembali seperti bayi yang baru dilahirkan ibunya (bersih dari dosa)  (Sahih Bukhari No:1690) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Orang yang melaksanakan ibadah Haji dengan tidak melakukan perkara yang dilarang akan diampunkan dosanya bersih seperti bayi yang baru dilahirkan.

2.Haji mabrur adalah haji yang dilaksanakan dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT (bukan kerana hendak melancong, berjual beli dan seumpamanya). Pelaksanaaan haji dengan kaifiyat (tata cara) yang betul sebagaimana yang diajarkan Nabi SAW akan menghasilkan pahala yang besar (syurga) dan keampunan dosa. Justeru, seseorang yang mahu melaksanakan ibadah haji mestilah memahami hukum-hukam berkaitan haji dan menjauhi perkataan yang kotor dan perbuatan fasiq.

3.Apabila seseorang melaksanakan ibadat haji dan menjauhi apa-apa yang Allah haramkan, berupa rafats dan fusuq iaitu meninggalkan perbuatan fasik dengan melakukan ketaatan, dan tidak meninggalkan apa-apa yang Allah wajibkan, serta tidak melakukan apa yang Allah haramkan - maka ia kembali dari ibadat haji dalam keadaan bersih dari dosa. Sebagaimana seseorang keluar dari perut ibunya tanpa membawa dosa, maka orang memenuhi syarat ini - dia akan bersih dari dosa.

4.Setiap Muslim yang akan melaksanakan ibadah haji hendaklah segera bertaubat (menyesali dan meninggalkan perbuatan maksiat) dan bertekad tidak akan mengulangi dosa-dosa tersebut. Bagi kesalahan dan dosa berkaitan dengan manusia atau mengambil haknya, hendaklah segera meminta maaf dan mengembalikan hak-hak mereka sebelum pergi melaksanakan haji. Sesungguhnya haji merupakan jalan menuju ke syurga dan membebaskan diri daripada api neraka.

5.Ibadat haji yang dilaksanakan akan menjadi penghapus dosa apabila dilaksanakan mengikut peraturan dan meninggalkan larangan. Imam al-Nawawi dalam Al-majmu berkata: “Apabila seseorang ingin mengerjakan ibadat haji maka ia wajib mempelajari tatacaranya, kerana tidak sah ibadah dari orang yang tidak mengetahuinya.”

Bagi yang akan menunaikan ibadat haji, pastikan ibadat haji yang dilakukan mengikut peraturan dan mematuhi larangan agar ia menjadi pengampun dosa.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

13hb Mei 2024
04hb Zulkaedah 1445H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
hottg.com/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Pahala Yang Berterusan

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Apabila salah seorang manusia meninggal dunia, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat baginya dan anak soleh yang selalu mendoakannya." (HR Muslim No: 3084) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim bergantung dengan amal yang mereka lakukan semasa hidup.

2.  Ada amalan yang dilakukan oleh seorang Muslim semasa hidup akan berterusan mengalir pahalanya walaupun dia telah meninggal antaranya:

a.  Sedekah yang pernah kita buat semasa hidup sama ada berbentuk wakaf, derma, pemberian, hadiah dan sebagainya. Selagi ia dimanafaatkan oleh makhluk sama ada manusia, binatang mahupun tumbuhan, ganjaran pahalanya akan tetap berterusan untuk si mati.

b.  Ilmu bermanfaat sama ada ilmu agama mahupun ilmu dunia yang digunakan untuk kemaslahatan hidup termasuk buku, artikel, juga dalam bentuk elektronik seperti laman sesawang, FB, telegram, whatsapp.    Selagi ilmu tersebut diamalkan atau faedahnya dimanfaatkan, maka ganjaran pahala akan diperolehi oleh mereka yang menyampaikan atau yang memulakan.

c.  Anak solleh yang sentiasa mendoakan rahmat dan keampunan kepada kedua ibu bapa.

3.  Jazakumullahhu khairan katsira kepada guru sama ada yang mengajar di Nurseri, Tadika, Sekolah Rendah, Sekolah Menengah, Madrasah, Masjid dan Surau, Institusi Pengajian Tinggi seperti Kolej, IPG, dan  Universiti. Juga kepada setiap individu yang menyampaikan ilmu yang bermanfaat.

Semoga usaha para penyampai ilmu yang bermanfaat, akan menjadi penerus amal yang mendatangkan ganjaran pahala berterusan walaupun setelah meninggal dunia.

Guru Jauhari Digital Aspirasi Negara Madani

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

14hb Mei 2024
05hb Zulkaedah 1445H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
hottg.com/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Guru Penyebar Kebaikan

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى كَانَ لَهُ مِنْ الْأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلَالَةٍ كَانَ عَلَيْهِ مِنْ الْإِثْمِ مِثْلُ آثَامِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ آثَامِهِمْ شَيْئًا

Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda: "Barang siapa mengajak kepada kebaikan, maka ia akan mendapat pahala sebanyak pahala yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi pahala mereka sedikitpun. Sebaliknya, barang siapa mengajak kepada kesesatan, maka ia akan mendapat dosa sebanyak yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa mereka sedikitpun." (HR Muslim No: 4831) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Sesiapa sahaja yang berperanan mengajak, menasihat serta membimbing kepada kebaikan, mereka adalah seorang guru.

2.  Guru yang ingin mendapat ganjaran pahala berterusan akan   sentiasa melengkapkan dirinya dengan ilmu yang benar sejajar dengan prinsip pembelajaran sepanjang hayat.

3.  Seorang guru akan sentiasa berusaha gigih dan bersungguh-sungguh menyampaikan ilmu kepada orang lain tanpa mengira penat lelah bagi melahirkan generasi baharu yang berilmu dan memberi impak kepada kehidupan masyarakat dan negara.

4.  Guru yang menyampaikan, mendidik dan mengajar sesuatu ilmu yang benar, dia akan mendapat ganjaran pahala sama seperti pahala orang yang beramal dengan apa yang telah diajarkannya itu.

5.  Semakin ramai bilangan pelajar yang dibimbing dan diajar melakukan perkara yang baik dan bermanfaat, semakin banyak pahala yang diperolehi secara berterusan.

6.  Orang yang mengajar, membimbing dan menunjukkan yang buruk dan jahat, dia akan memperolehi ganjaran dosa sebanyak orang yang mengikuti dan beramal dengannya.

Marilah kita merebut peluang menjadi guru yang bersifat jauhari dan menguasai perkembangan digital sebagai alat menyebarkan ilmu. Semoga ilmu yang disebar menjadi simpanan deposit amal yang berterusan untuk akhirat kita. Sampaikan ilmu melalui pelbagai medium termasuk menggunakan media sosial seperti Tiktok, FB, WhatsApp, Twitter dan sebagainya. Jadilah kita guru yang mengajar kebaikan dan perkara bermanfaat pada orang lain, bukan sebaliknya.

SELAMAT HARI GURU

Guru Jauhari Digital Aspirasi Negara Madani

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

15hb Mei 2024
06hb Zulkaedah 1445H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
hottg.com/hadisharian_ikram
HTML Embed Code:
2024/05/15 05:22:24
Back to Top