TG Telegram Group Link
Channel: Aiman Banna
Back to Bottom
Channel photo updated
Ketika bersahabat atau bercinta, first thing first kena pasak kuat dalam hati:

"Dia manusia, tiada yang sempurna, akan ada cacat cela, akan ada yang mengguris jiwa. Namun... aku tidak akan harapkan kesempurnaan darinya sepertimana aku tidak akan mampu sempurna untuk dia. Namun aku akan usaha sebaik mungkin lillahi ta'ala...

Jika dia buat perangai, aku akan bersabar dan maafkan...
Jika dia baik denganku, aku akan hargai dan bersyukur..."

Kerana dua inilah cara Muslim bercinta.

Akhirnya, mencintai itu satu ibadah,

Moga nasihat ini bermanfaat untuk yang dah berkahwin atau yang masih single, yang masih bercita-cinta ingin bercinta halal dalam nikah ;)
Keliru istilah "seimbang dunia akhirat"

Ada yang faham dengan dia buat maksiat & dosa sebagai dunia, kemudian diseimbangkan dengan buat kebaikan dan ibadah.

Ini keliru - kerana maksiat ialah asbab ke neraka manakala ibadah asbab ke syurga. Takkanlah nak syurga dan nak neraka juga. Wajib tinggalkan maksiat dan taubat nasuha.

Maksud seimbang dunia akhirat ialah: Buat banyak amal ibadah yang fardhu dan sunnah, namun tidak abaikan tanggungjawab di dunia seperti nafkah anak isteri, kesihatan dll.
.
Mata yang rasa biasa
bila melihat wajah ajnabi,
Akhirnya zina hati dan mata
menjadi sebati, normalisasi.
.
Jangan pelik jika matamu
sudah lama tidak mengalir hiba,
Bahkan hati membatu kaku,
ketika membaca Kalam-Nya.
.
Mata dan hati yang tidak terjaga,
Akan hancurkan iman dalam jiwa.
.
Bertaqwalah, duhai sahabatku...
.
- AHAB
.
Jika ini malam terakhirku,
Maafkanlah hamba-Mu ini,
.
Andai tiada ampunan
daripada al-Rahman,
sudah pasti seksa neraka
tema kehidupanku kelak
.
Andai dipilih al-Rahim
untuk dirahmati di sana,
sudah pasti nikmat syurga
tidak dapat dikhayal jiwa
akan menantiku kekak.
.
Rahmatilah,
jangan dikau murkai...
Kumohon kepada Empunya
Surah istimewa al-Rahman.
.
- AHAB
.
Berimanlah dengan takdir,
semua yang akan hadir,
ialah kebaikan yang mengalir,
hadiah daripada al-Qadir.
.
- AHAB
Dukacita dimaklumkan, bagi yang mengenali Rumawi bin Kasolan رحمه الله, dimaklumkan bahawa beliau telah kembali ke rahmatullah pada 9.45 hari Jumaat, 28/7/23

اِنّا لِلّهِ وَاِنّا اِلَيْهِ رَاجِعُوْنَ

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ
أَنَّ لِلَّهِ مَا أَخَذَ وَلَهُ مَا أَعْطَى وَكُلُّ شَيْءٍ عِنْدَهُ بِأَجَلٍ مُسَمًّى فَمُرْهَا فَلْتَصْبِرْ وَلْتَحْتَسِبْ

"Sesungguhnya adalah milik Allah apa yang Dia ambil, dan akan kembali kepadaNya apa yang Dia berikan. Segala sesuatu yang ada disisiNya ada jangka waktu tertentu (ada ajalnya). Maka hendaklah engkau bersabar dan mengharap pahala dari Allah."

Bismillahirrahmanirrahim,

Dengan penuh hiba dan redha saya umumkan bahawa ayah saya, Rumawi bin Kasolan telah pulang ke pangkuan yang Esa.

Jenazah akan dimandikan di Masjid Seksyen 7 Shah Alam, pada pukul 9am.

( Maps: https://g.co/kgs/WFiL4M )

Kemudian selepas Zohor akan mula Solat Jenazah beramai-ramai. Mengharapkan fadhilat daripada hadis baginda yang mulia ini:

Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ مُسْلِم يَمُوتُ فَيَقُومُ عَلَى جَنَازَتِهِ أَرْبَعُونَ رَجُلًا، لَا يُشْرِكُونَ بِاللهِ شَيْئًا، إِلَّا شُفِّعُوا فِيهِ

Maksudnya: “Setiap seorang muslim yang meninggal dinia lalu ada 40 orang menyembahyangkan jenazahnya dan mereka tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu apapun, maka solat yang mereka lakukan akan memberi syafaat kepada si mayat.”

Hadis Riwayat Muslim (2509)

Solat Jenazah akan dilaksanakan selepas solat zohor di sini. Kemudian, jenazah akan dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam.

Mohon doakan keampunan dan rahmat buat ayah saya, Rumawi bin Kasolan رحمه الله

Moga Allah ampuni segala dosa ayah saya,
Moga Allah masukkan beliau dalam syurga tanpa hisab.

Saya saksi, ayah saya seorang Muslim yang baik.

Saya ulang kata-kata permata baginda Nabi setelah kewafatan anak lelaki kecintaan baginda bernama Ibrahim, saya ulang untuk ayah tercinta saya:

إن العين تدمع والقلب يحزن، ولا نقول إلا ما يرضي ربنا، وإنا لفراقك يا أبي لمحزونون

Bermaksud:
Sesungguhnya air mataku ini mengalir,
Hatiku pula bersedih hiba,
Tapi tidak pula kami katakan
apa yang Tuhan tidak redha,
Namun sesungguhnya perpisahan
kita ini wahai ayahku,
Kami bersedih hati dan jiwa...

Abah, ini perasaan dan doa kami untuk abah.

Jazakumullahukhairan daripada kami sekeluarga.

- Mujahid Aiman bin Rumawi.
Anak kedua Tuan Rumawi bin Kasolan رحمه الله
Lepas solat, termenangis, sebab ter-rindu Abah, yang tiadalah rindu ini berkuasa untuk kembalikan Abah semula bersama kami, namun rindu ini membuatkan kami semakin yakin Abah seorang ayah yang baik, mertua yang baik, atuk yang baik, suami yang baik, anak yang baik, adik beradik yang baik dan insya-Allah seorang hamba Allah yang baik-baik jua. Kurniakanlah hamba-Mu hadiah jannah yang terindah duhai al-Rahman...

Dari dulu memang doa wajib sebelum bagi salam ialah doakan keampunan untuk ummi abah, dan akan diteruskan sampai Aiman pun menyusuli abah di alam tanah sana kelak...
Hukum bagi gelaran Walaun, Walanon, Wahabi dan lain-lain?
Maksiat: Punca Sempit Rezeki
Nak Cerai Sebab Suami Ketagih Porno dan Onani.

Soalan kepada saya di inbox:

"assalamualaikum ustaz. sy nak tanya boleh ke mintak cerai kalau kita dapat tahu suami addicted dgn porn and masturbate?"

Jawapan:

Waalaikumsalam Warahmtullahi Wabarakatuh.

Untuk langkah pertama, nasihatkan dia dengan baik, dan jaga aib beliau sebagai suami. Sepertimana anjuran Allah dalam surah al-Syura, ayat 38, agar mesyuarah dengan baik dan ihsan. Ini antara sifat yang Allah cinta; nasihat sesama suami isteri dengan baik, tanpa emosi yang melampau.

Minta dia janji untuk tinggalkan maksiat tersebut kerana Allah dan demi jaga keberkatan dalam rumah tangga ini.

Ketahuilah bahawa maksiat akan menghilangkan keberkatan dan rezeki dalam rumah tangga, sepertimana petunjuk sabda baginda:

إن الرجل ليُحرم الرزق بالذنب يُصيبه

"Sesungguhnya seseorang itu akan terputus rezekinya dek kerana dosa-dosa yang dilakukannya."

HR Ibn Majah (4022)

Keputusan untuk bercerai perlulah difikir mendalam dan difikir jauh demi maslahat anak-anak dan lain-lain. Sekiranya suami seorang yang soleh, menjaga solatnya, menjaga nafkah keluarga, namun kelemahannya pada maksiat ketagihan porno dan onani, maka teruskan dakwah dan sabar, yakinlah dia boleh berubah dan sudah pasti semua pemaksiat boleh berubah dengan izin Allah.

Puan anggaplah ini sebagai dakwah kepada suami Puan, dan bergembiralah dengan besarnya pahala apabila suami Puan berjaya tinggalkan maksiat porno dan onani ini dengan asbab dakwah Puan yang ikhlas dan sabar.

Jangan pernah lupa untuk berdoa, agar Allah bantu dan berikan hidaya taufiq kepadanya agar istiqamah meninggalkan ketagihannya.

Ingatlah, doa seorang isteri yang solehah, yang menjadi ibu kepada anak-anaknya, makbul insya-Allah. Berdoalah ketika Allah turun ke langit dunia untuk memperkenankan doa para hamba-Nya yang berdoa dengan ikhlas, ketika sepertiga malam, di saat sujud tahajudnya.

Allah berfirman:

مَنْ يَدْعُونِى فَأَسْتَجِيبَ

"Siapa yang berdoa kepadaku, maka akan kuperkenankan."

HR Muslim (1808)

Moga Allah perkenankan hasrat Puan.

Apa-apa pun, teruslah menjadi isteri solehah yang menjadi asbab suami terus soleh dan anak-anak jua dalam suasana soleh, bergembiralah dengan hadis ini:

إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خُمُسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ بَعْلَهَا، دَخَلَتْ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الجَنَّةِ شِئْتِ

“Jika seorang wanita menunaikan solat 5 waktu, puasa pada bulan Ramadhan, menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya, masuklah dia ke dalam Syurga dari mana-mana pintu yang kamu kehendaki”.

HR Ibn Hibban (4163)

Moga Allah berkati keluarga Puan sehingga alam akhirat kelak.

وصلى الله على محمد وعلى آله وصحبه أجمعين

Yang menasihati,
Abu Harith Aiman Banna (AHAB)
Jangan seronok mengutuk orang lain.
Mata menangis bukan kerana sedih tengok drama!
Kisah Ibu Jesus Alaihissalam.

Ingin saya kongsikan kisah mulia.
Kisah si solehah, hamba pilihan-Nya.
Maryam bin Imran, itulah namanya.

Marilah kita hayati kisah Maryam, agar kita boleh mendapat inspirasi dan ilmu dalam menjadi hamba yang soleh insya-Allah:

Maryam, nama yang mulia. Nama yang seiiring peribadinya yang jua mulia. Kemuliaan yang diiktiraf oleh Tuhan, sehinggakan salah satu kalam Allah dinamakan Surah Maryam.

Maryam anak Imran.

Mari kita berkenalan dengan lelaki soleh bernama Imran ini, ayah kepada Maryam yang solehah.

Beliau merupakan cucu cicit keturunan Sulaiman bin Daud AS. Keturunan mulia yang soleh, yang dimuliakan jua nama Imran di dalam surah Kalam Allah yang bernama Surah Ali Imran. Imran menginginkan cahaya mata pembahagia jiwa, namun isterinya tidak mampu melahirkan anak walaupun seorang untuknya. Namun kini, usia sepasang suami isteri yang soleh solehah ini sudah pun senja, sudah pun terlalu tua.

Seakan-akan harapan sudah sirna untuk mempunyai cahaya mata di usia ini.

Namun satu hari, isteri Imran terlalu teringin untuk mempunyai anak, walaupun keadaan itu dia sedar bahawa dirinya sudah pun tua dan bagaimana mungkin mampu untuk hamil? Namun tetap jua si solehah itu berdoa dengan yakin kepada Tuhannya, dia pun bernazar untuk menjadikan anak lelakinya untuk Allah, berkhidmat untuk Baitul Maqdis; menjadi khadam untuk Baitul Maqdis. Anak lelaki ini akan menjadi seorang yang sentiasa ruku’, sujud, beribadah kepada Allah.

Sehinggalah satu hari, Imran dan isterinya menyedari di dalam perut si solehah itu adanya isi, dia sedang hamil! Di mata manusia, mustahil, mana mungkin usa tia senja begini boleh mengandung, ini keajaiban yang sangat hebat!

Namun tidaklah mereka tahu, si bayi dalam kandungan isteri Imran itu akan lebih ajaib daripada kejadian itu, iaitu melahirkan bayi tanpa seorang ayah kandung.

Bergembiralah sepasang suami isteri ini. Berbahagialah soleh dan solehah ini, doa mereka dikabulkan Allah!

Tibalah hari yang dinantikan, hari kelahiran anak pertama buat suami isteri yang sudah tua senja ini, sentiasa segar bugar ingatan mereka akan nazar untuk menjadikan anak lelaki merka sebagai khadam di Baitul Maqdis. Namun ketika lahir sahaja si bayi, ternyata bukan lelaki, namun perempuan jantinanya!

Sedangkan adat mereka untuk menjadi khadam di Baitul Maqdis perlulah lelaki sahaja! Tiada perempuan yang menjadi khadam yang beribadat di sana. Bagaimana pula cara untuk Imran dan isterinya menunaikan nazar mereka kepada Allah, mereka tiada anak lelaki?

Isteri Imran berkata:

قَالَتْ رَبِّ إِنِّى وَضَعْتُهَآ أُنثَىٰ

“Aku melahirkan anak perempuan!"

وَٱللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا وَضَعَتْ

"Allah tahu jantina bayi yang kau lahirkan..."

Allah lebih tahu apa yang dihamilkan isteri Imran. Allah tahu bayi comel itu perempuan. Allah yang menciptakan insan, Allah yang mengizinkkan kehamilan di usia tua itu dan Allah jua tahu kandungan istimewa di dalam perut si solehah itu.

Allah jua mengatakan:

وَلَيْسَ ٱلذَّكَرُ كَٱلْأُنثَىٰ

Lelaki tidaklah sama seperti wanita.

Lelaki ada kelebihannya,

Wanita juga ada kelebihannya.

Kemudian isteri Imran pun memberikan nama kepada bayi yang dirindukannya itu:

وَإِنِّى سَمَّيْتُهَا مَرْيَمَ

"Sesungguhnya aku memberikan namanya Maryam."

Setelah memberikan nama yang istimewa, disusuli pula dengan doa yang ikhlas daripada seorang ibu:

وَإِنِّىٓ أُعِيذُهَا بِكَ وَذُرِّيَّتَهَا مِنَ ٱلشَّيْطَـٰنِ ٱلرَّجِيمِ

"Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu untuk melindungi Maryam dan keturunannya daripada al-Syaitan al-Rajim."

Ada info yang menarik berdasarkan doa yang istimewa ini, ketahuilah sebenarnya setiap anak Adam yang baru dilahirkan, akan dicubit oleh syaitan, melainkan dua bayi, iaitu Maryam dan Isa AS. Ini kerana keberkatan doa neneknya Isa di atas, masya-Allah. Ini berdasarkan hadis sahih Bukhari (3431) & Muslim (2366).
Fuh panjang pulak saya tulis, kalian suka kah penceritaan seperti ini. Nak tahu lanjut kisah Ali Imran, Marya, sehinggalah anaknya yang mulia Jesus Alaihissalam. Kalau ramai nak, saya usahakan sampai jadi insya-Allah. Komitmen gak nak kena buka kitab Arab dan rujukan, syarah para ulama dalam kisah-kisah ini.

بارك الله فيكم

Yang menulis,
Aiman Banna.
Puisi Abah Yang Dirindukan.
Karya Aiman Banna.

kutulis puisi cinta
dengan dakwat air mata
kerana aku rindu dia
dengan dia kuingin bersama
kerana aku cinta dia
dia yang kupanggil Abah
yang kini sudah arwah

ini doa ikhlas dari anak keduamu Abah
moga Allah yang memiliki rahmah
redai Abah
cinta Abah
lalu kurnia jannah
kepadamu Abah

duhai Allah al-Rahman
ampunilah segala kesilapan
kami saksi Abah ayah baik
Abah dah buat yang terbaik
namun dia hamba-Mu, lemah
ada cacat cela, tidaklah sempurna
maka dengan 99 nama al-Husna
ampunilah, rahmatilah dia.

duhai al-Azim, Engkaulah saksi utama
bahawa Abah guru pertama yang ajar
kepada anaknya yang lima bahawa:
tiada tuhan
selain Allah
yang berhak
disembah
maka kurniakanlah pahala berterusan
lapangkanlah kuburnya di tanah merah
sehingga yang ganti: tanah jannah

Pasar Seni, KL.
25.02.24
15 Sha'ban 1445.
tika kumasih tadika
mencari sosok tubuh jejaka
Abah, kamu ada di mana?

dalam rumah ada Abah?
ada Abah? oh, aku tidak suka

akan minta kugarukan kepala
bila ada saja, uban mahu dicabut
dan kegemarannya, kaki mahu diurut

Abah keluar, kerja?
tiada di rumah? ok, aku suka suka suka.

kini anakku sudah lima
abah, kamu ada di mana?

aku mahu garu kepalamu
aku mahu cabut ubanmu
aku mahu urut kakimu

oh aiman, Abah ada
ada di





kubur sana.

di atas tanah merah
abah sudah tiada

air mataku saja yang ada
memori tiba
merobek jiwa

bermodal rindu
tidak mampu
kembalikan waktu
untuk bersamamu
duhai abahku
HTML Embed Code:
2024/05/08 03:28:56
Back to Top