TG Telegram Group Link
Channel: Ustaz Abdul Mui'zz
Back to Bottom
tinggi capaiannya & jelas tanpa berselindung. Ia bersifat mandiri.

Sebaliknya sifat ajaran yang batil selalunya gemar untuk berselindung kerana terselit tipu daya yang meragukan. Sesungguhnya kebenaran itu tabiatnya jelas terzahir & ia bersifat konsisten tidak berubah.

Agar Kita Dapat Membanggakan Nabi.

Dari 2 ayat yang telah dinyatakan di atas, kita perlu menyedari akan kualiti yang perlu dimiliki selaku umat Nabi. Apabila Allah mengumpamakan orang-orang beriman seperti pokok yang bermanfaat, ia menuntut kita untuk memahami bahawa:

• Islam yang dianuti hari ini adalah hasil pengorbanan Nabi & para penyambung perjuangannya. Merekalah yang telah bersusah payah menanam benih. Mereka cukup faham betapa pentingnya menyediakan pelapis-pelapis yang baik untuk umat.

• Orang-orang beriman perlu memiliki asas & jati diri dalam kehidupan. Di sinilah pentingnya ilmu & kefahaman. Sekalipun akar yang terbenam di perut bumi itu tidak kelihatan, namun kesannya dapat dilihat. Ia adalah faktor utama kepada berdiri kukuhnya sesebuah pokok.

• Wajib melangsungkan seruan Islam dengan kata-kata & contoh perilaku yang baik. Ajaran yang benar itu pasti akan tersebar, berkembang & berbuah. Ibarat pokok yang membesar, sekalipun tumbesarannya kelihatan perlahan namun ia pasti akan berbuah. Sabar adalah kuncinya. Gunakan segala ruang yang ada untuk mencerahkan umat.

Ternyata metafora-metafora di dalam al-Quran sangat mencerdaskan akal manusia. Demikianlah bagaimana Allah menggesa kita untuk berfikir, supaya benar-benar faham akan sifat agama yang kita anuti.

Abdul Mu'izz Muhammad
8 Disember 2020.
POLITIK LABAH-LABAH.

Al-Quran kaya dengan metafora-metafora yang merangsang akal manusia agar berfikir berkenaan tabiat kehidupan secara mendalam. Allah telah memperuntukkan sebuah surah khusus diberi nama al-Ankabut, yang bermaksud labah-labah. Cerita perihal labah-labah & sarangnya amat mustahak untuk diamati, berdasarkan firmanNya:

مَثَلُ الَّذِينَ اتَّخَذُوا مِن دُونِ اللَّهِ أَوْلِيَاءَ كَمَثَلِ الْعَنكَبُوتِ اتَّخَذَتْ بَيْتًا ۖ وَإِنَّ أَوْهَنَ الْبُيُوتِ لَبَيْتُ الْعَنكَبُوتِ ۖ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ

"Perumpamaan orang yang meminta perlindungan selain Allah adalah seperti labah-labah yang membuat sarang. Dan sesungguhnya rumah yang paling lemah adalah rumah labah-labah, sekiranya mereka mengetahui" - al-Ankabut 41.

Bertemakan Politik.

Ayat yang telah dinyatakan di atas, selain mengandungi peringatan berkenaan aqidah, ia juga menyentuh tabiat politik manusia yang mengharapkan pergantungan selain dari Allah. Kita perlu melihat dari perspektif kesinambungan ayat sebagai pembayang kepada mesej secara lengkap.

Tiga ayat sebelum ayat 41 surah al-Ankabut, Allah mengungkit berkaitan kesombongan kaum Ad & Thamud yang berbangga dengan kemajuan masing-masing. Kemudian Allah mengingatkan kesudahan celaka yang telah ditimpakan ke atas Qarun, Firaun & Haman. Mereka adalah watak-watak yang akrab, dengan pengajaran politik kejam penuh licik & bersifat kebendaan.

Syeikh Sa'id Hawwa telah menukilkan dari huraian Said Qutb, bahawa ayat 41 surah al-Ankabut adalah sebagai gambaran menarik dan tepat berkenaan tabiat kekuasaan & kekuatan yang menyebabkan manusia sering lupa. Dengan memiliki kekuasaan, manusia rasa berhak untuk berbuat apa sahaja.

Kebergantungan-kebergantungan yang bersifat politik materialistik seperti itu menyebabkan manusia lupa akan pergantungan sebenar mereka kepada Allah. Maka Allah menyifatkan hakikat keadaan mereka adalah lemah, ibarat rapuhnya sarang labah-labah.

Sarang Politik Yang Rapuh.

Imam Fakhruddin al-Razi di dalam tafsirnya telah membahaskan, apakah hikmah Allah mengemukakan metafora sarang labah-labah di dalam ayat 41 surah al-Ankabut? Maka beliau menjelaskan bahawa sebenarnya sarang labah-labah tidak cukup syarat untuk dianggap sebagai rumah yang selamat.

Realitinya ia tidak memiliki dinding, tiada atap untuk berlindung & tiada pintu yang selamat. Bahkan tiada bayang yang layak untuk dibuat teduh. Ia bukan bersifat pelindung, tetapi ia bersifat perangkap.

Sarang labah-labah juga tidak menyebabkan penghuninya merasa stabil & tenteram. Sebaliknya ia menimbulkan rasa serba terancam. Bahkan jika ia dipukul dengan angin, sarang labah-labah itu akan terbang lenyap, hilang tidak meninggalkan kesan. Sifatnya terlalu sementara & rapuh.

Tabiat Politik Labah-Labah.

Labah-labah merupakan haiwan pemangsa yang hidup secara individualistik. Ia hanya boleh hidup berpasangan ketika musim mengawan sahaja. Sarang yang dibina sekadar bertujuan untuk memerangkap binatang lain. Tidak lebih dari itu.

Sifat keakuan labah-labah dibuktikan lagi dengan tabiat bagaimana ia sanggup memakan pasangannya sendiri selepas puas mengawan. Mula-mula akrab. Kemudian setelah memperolehi kehendak yang diingini, maka ia akan membunuh pasangannya.

Bahkan jika labah-labah berdepan dengan kesukaran mencari sumber makanan, ia sanggup sahaja untuk saling berbunuhan untuk meneruskan hidup. Ya, labah-labah boleh memakan sesama sendiri.

Kaedah labah-labah memakan mangsanya yang telah terperangkap pun agak aneh. Ia akan menghisap habis-habisan isi dari tubuh mangsanya. Dari luar, kelihatan mangsanya tidak berubah bentuk. Namun mana-mana yang telah menjadi korban, dalam badannya sudah kering & kosong tidak mengandungi apa-apa nilai.

Politik Sadistik.

Allah mengemukakan ayat-ayat perbandingan seputar alam sekeliling kita, sebagai sebuah pengajaran & pedoman. Jika kita memerhatikan tabiat labah-labah, sudah pasti kita akan menyedari bahawa sifat kejam, pentingkan diri & gemar memperdaya, tidak akan menatijahkan kekuatan yang hakiki.

Sebaliknya tabiat sedemikian akan menjerumuskan manusia ke kancah politik haiwan yang ti
ada pertimbangan moral. Obsesi terhadap kekuasaan & kebendaan memang amat mengasyikkan bagi pencandu-pencandu dunia.

Keasyikan tersebut menyebabkan mereka lupa akan kebergantungan sebenar hanya kepada Allah, bukan kepada pengaruh manusia pragmatik yang boleh dijual beli prinsipnya. Kerapuhan seperti itulah yang Allah ibaratkan seperti sarang labah-labah.

Abdul Mu'izz Muhammad
15 Disember 2020.
LABA DI SEBALIK AGENDA NORMALISASI ISRAEL.

Normalisasi Israel merupakan sebahagian dari pelan projek Deal of The Century yang telah diwartakan secara umum pada 2017. Sekalipun ia bukanlah langkah yang boleh dianggap sebagai popular bagi dunia Islam-Arab, namun kelangsungan projek tersebut seakan-akan tidak mampu disekat oleh umat Islam hari ini.

Sejarah Baharu Dunia Arab.

Kita tidak boleh nafikan bahawa implikasi dari tragedi Arab Spring, menyebabkan idea Pan Arabisme & Pan Islamisme di dunia Arab hilang kredibiliti. Ia telah dianggap sebagai punca krisis & masalah, menyebabkan penduduk di rantau tersebut gagal menikmati kehidupan yang lebih makmur.

Lantas dari konflik itu menghasilkan transformasi sikap yang dapat kita saksikan hari ini, iaitu Arab sudah tidak lagi segan meletakkan kepercayaan kepada Israel. Hubungan tersebut turut didorong atas perkongsian sikap prejudis mereka terhadap Iran.

Ada beberapa sejarah yang boleh dijadikan sandaran betapa negara-negara Arab khususnya yang intim dengan Israel hari ini, menganggap Iran sebagai ancaman besar mereka. Sikap prejudis itu bermula dari revolusi Iran yang menolak pengaruh AS di negara tersebut.

Pada masa yang sama, Israel turut merasakan Iran adalah ancaman utama yang perlu dihapuskan. Idea Persepakatan Sunni-Israel telah diangkat sejak 2007, kemudian ia terus dilangsungkan atas dorongan memperkukuhkan kepentingan ekonomi bersama melalui GCC (Gulf Cooperation Council).

Kini kita menyaksikan Iran meluaskan pengaruhnya di negara seperti Syria & Lubnan. Sementara Israel semakin meneroka peluang hubungan ekonomi & politik khususnya dengan negara-negara Arab yang kaya di Teluk.

2 Projek Mega Di Sebalik Normalisasi Israel.

• Saudi perlu menjayakan projek meganya, iaitu bandar futuristik Neom. Hasrat tersebut telah dinyatakan oleh Saudi pada 2017.

• Israel pula perlu menjayakan pembinaan jaringan perdagangan melalui landasan keretapi yang melintasi negara-negara Arab. Ia telah diisytiharkan pada 2019 & disokong penuh oleh AS.

Neom.

Neom diambil dari 2 perkataan berlainan bahasa. Neo bermaksud baharu dalam bahasa Yunani. Sementara huruf M dihujungnya mewakili 'mustaqbal' yang bermaksud masa hadapan. Neom adalah bandar futuristik yang menterjemahkan cita-cita masa hadapan baharu bagi Saudi.

Projek mega yang menelan belanja sebanyak USD500 billion itu diilhamkan oleh Muhammad Bin Salman. Jika dibandingkan, idea pembangunan seperti ini tidak jauh berbeza dengan apa yang telah dilakukan oleh mentornya, iaitu Putera Mahkota UAE, Muhammad Bin Zayed.

Kini negara-negara pengeluar minyak seumpama Saudi sedang mengubah strategi ekonominya, untuk bersedia agar tidak lagi bergantung penuh dengan eksport minyak. Strategi sedemikian telah dirintis awal oleh UAE, lalu menjadikannya negara kaya & popular dengan sektor pelancongan & perniagaan global.

Model bandar canggih seperti Dubai itulah yang cuba dibuat oleh Saudi. Lokasi bandar Neom terletak di teluk Aqaba, bersempadan dengan Mesir & ada kaitan sempadan dengan Israel. Saudi ingin membina jambatan sepanjang 10km di Selat Tiran yang dapat menghubungkan antara bandar Neom & Sharm Sheikh, Mesir.

Sejak perjanjian 1979, telah disepakati bahawa negara-negara yang bersempadan di Selat Tiran tidak dibenarkan membina sebarang infrastuktur yang membolehkan akses melintasi Laut Merah.

Perkara tersebut dianggap sangat sensitif bagi Israel. Maka setelah berlakunya normalisasi Israel, projek Neom yang menyentuh 'kedaulatan hak' Israel seperti ini dapat diselesaikan.

Saudi juga sedar bahawa sikapnya yang tidak selindung-selindung intim dengan Israel, menyebabkan kredibilitinya semakin pudar dalam kalangan kebanyakan warga Arab-Islam. Justeru projek membina bandar futuristik Neom sangat signifikan bagi Saudi, untuk segera mewujudkan jaringan berkepentingan global.

Jaringan Keretapi Israel.

Projek Tracks for Regional Peace- The Regional Lanbridge & Hub Initiative, merupakan usaha Israel bagi meluaskan jaringan perdagangannya melalui jalan darat. Idea mewujudkan jaringan landasan keretapi itu diambil dari strategi Uthmaniyya
h terdahulu yang membina Hijaz Railway. Ia disifatkan sebagai tulang belakang empayar tersebut di wilayah-wilayah Arab.

Dengan projek jaringan keretapi, Israel berhasrat memaksimakan potensi perlabuhan Haifa mereka untuk menjadi pusat perdagangan bagi kapal-kapal kargo dari Eropah & AS yang berlabuh di laut Mediterranean. Pada masa yang sama, ia sebagai pintas agar Israel tidak perlu lagi mengambil risiko menggunakan laluan bahaya di Bab Mandab, Yaman & Teluk Hormuz, Iran.

Apabila negara-negara Arab khususnya negara Teluk telah merestui agenda normalisasi Israel, maka sikap politik tersebut memberi laluan kepada projek pembinaan jaringan keretapi Israel di negara-negara Arab. Ia membabitkan Jordan, Saudi, Bahrain, Oman & UAE. Semua negara-negara terlibat bakal memperolehi lonjakan ekonomi hasil berkongsi jaringan keretapi dengan Israel.

Perjalanan melalui jalan laut dapat disingkatkan beribu kilometer dengan melalui jalan darat. Cepat, jimat & selamat. Ia juga sebagai pakej rangsangan ekonomi kepada negara-negara Teluk yang selama ini ekonomi mereka hanya bergantung dengan eksport minyak.

Dari sudut kempen propaganda, Israel menyerlahkan pulangan yang akan turut dinikmati oleh rakyat Palestin di sebalik projek jaringan keretapi mereka. Negara Zionis itu mendakwa bahawa rakyat Palestin akan mudah bebas pergi ke Jordan, Saudi & negara-negara teluk dengan hanya menaiki keretapi Israel. Sudah pasti kempen sedemikian dapat menarik minat ramai orang Islam, yang pertimbangan mereka hanya tertumpu melihat selepas ini semakin mudahlah perjalanan untuk mengerjakan haji & umrah.

Tawaran Dunia.

Setelah negara-negara Arab yang selama ini menaruh sikap anti Israel telah dimusnahkan melalui Arab Spring, kini Zionis menawarkan laba ekonomi kepada negara-negara Arab lain yang sudi bersama dengan kepentingannya. Jika kita bicarakan dengan laras bahasa geo ekonomi, sememangnya akan terlihat akan rasionalnya.

Cuma jika kita berpatah balik kepada pertimbangan agama, bukankah ini merupakan bentuk tawaran dunia yang akan menghancurkan wibawa umat Islam & mengakibatkan kecelakaan ke atas bangsa Arab? Dahulu siapa sangka, pak-pak Arab boleh jadi tidak sedar diri dengan menyambut perayaan Hanukkah bersama Yahudi? Kini, kita sedang menyaksikannya.

Abdul Mu'izz Muhammad
19 Disember 2020.
TIDAK BOLEH SAMAKAN ISLAM DENGAN IDEOLOGI CIPTAAN MANUSIA.

Golongan yang menyamakan Islam dengan ideologi-ideologi ciptaan manusia, ibarat orang yang menganggap manusia & beruk adalah makhluk yang serupa. Kesimpulan gopoh tersebut terbina atas tanggapan bahawa antara manusia & beruk kelihatan ada persamaannya secara zahir.

Sesungguhnya kita tidak menerima teori yang mendakwa kononnya Islam membawa aspirasi yang serupa dengan liberalisme, sosialisme atau feminisme. Wujudnya aspirasi di dalam Islam seumpama melestarikan kebebasan, membela kepentingan bersama & menentang patriarki, membuktikan ia adalah agama syumul bahkan adil yang melunasi keperluan fitrah manusia sesuai pada kadarnya.

Adapun ideologi-ideologi ciptaan manusia, mengandungi unsur melampaui batas yang melanggari hak sesama manusia sama ada secara terang atau secara halus & mengesampingkan soal tanggungjawab bersama. Dari sudut yang lain, sudah pastilah berbeza antara ajaran wahyu & idea manusia yang tabiatnya berlatarkan konflik lalu melahirkan percubaan demi percubaan.

Disebabkan itu, ideologi-ideologi ciptaan manusia sering mengalami evolusi & sangat terdedah memunculkan antithesis yang radikal. Selalu sahaja berlaku, dalam rangka ingin mendapatkan sesuatu kehendak yang diingini, manusia menceroboh hak pihak lain pula.

Pada masa yang sama, kita pun tidak dapat nafikan bahawa ramai dalam kalangan umat Islam sendiri yang tidak memahami ajaran wahyu secara luhur. Lalu menjelmakan perilaku-perilaku zalim yang kemudian diatas-namakan, kononnya itulah ajaran Islam yang sebenar. Walhal terseleweng, kerana Islam yang tulen tidak akan melahirkan kezaliman.

Abdul Mu'izz Muhammad
27 Disember 2020.
TERAPI MINDA DARI NABI.

Nabi telah berpesan:

انْظُرُوا إِلَى مَنْ هو أَسفَل مِنْكُمْ وَلا تَنْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ فَوقَكُم؛ فهُوَ أَجْدَرُ أَن لا تَزْدَرُوا نعمةَ اللَّه عَلَيْكُمْ

"Lihatlah kepada orang yang lebih rendah dari kalian. Dan janganlah kalian melihat kepada orang yang lebih tinggi dari kalian. Maka dengan cara itu akan membuatkan kalian tidak meremehkan nikmat Allah kepada kalian" - hr Bukhari & Muslim.

Keterangan:

• Nabi mengajar kita agar sentiasa bersyukur & optimis dalam menjalani kehidupan.

• Dalam menilai nasib, baginda mengajar kita agar selalu melihat golongan yang lebih berat teruji berbanding kita.

• Dengan cara tersebut, akan menyedarkan kita bahawa betapa banyaknya nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kita selama ini.

• Ia juga akan memujuk hati kita agar sentiasa bersyukur dengan kehidupan sendiri.

• Jangan suka menghitung kesenangan terhadap golongan yang lebih bernasib baik dalam kehidupan dunia mereka berbanding kita

• Sikap suka membanding-bandingkan itu akan menerbitkan rasa tidak puas hati dengan takdir & sudah pasti akan menyukarkan kita beroleh ketenangan hidup.

Hadith-hadith motivasi seumpama ini sangat penting untuk diperingatkan, sewaktu kita masih lagi bergelut dengan penularan wabak yang memberi kesan kepada kelangsungan hidup kita semua. Apatah lagi buat mereka yang menjadi mangsa banjir sekarang.

Bersabar & bersyukur itu perlu sentiasa bergandingan. Terapi minda seperti hadith di atas adalah mustahak, untuk menguatkan keperibadian orang-orang beriman. Adapun pihak pemerintah, mereka perlu aplikasikan nas-nas berkaitan keadilan & empati terhadap rakyat bawahannya.

Abdul Mu'izz Muhammad
11 Januari 2021.
MENILAI PEREBUTAN KUASA.

Hakikatnya dalam politik, semua pihak inginkan jawatan. Sama ada mengaku atau tidak mengaku sahaja. Bahkan terkadang yang diam-diam itu lebih panjang langkahnya. Demikianlah logik yang memacu cara fikir dalam berpolitik.

Maka alasan 'orang itu inginkan jawatan' tidak cukup kukuh untuk dijadikan hujah yang absah bagi menolak seseorang, kerana ia 'normal' dalam politik. Alasan seperti itu juga dilihat amat mudah malah kerap dieksploit, untuk menyembunyikan hasrat pihak yang lebih berambisi merebut jawatan.

Justeru penilaian yang relevan adalah, apakah agenda di sebalik cita-cita politik seseorang? Apakah ideologi politiknya? Apakah rekodnya yang membolehkan kita menilai integritinya? Maka pertimbangan sedemikian dapat membentuk pemikiran kita, supaya lebih berobjektif ketika menilai retorik-retorik politik.

Abdul Mu'izz Muhammad
24 Januari 2020.
NABI AJAR CIUM ANAK, BUKAN DERA ANAK.

Ketika melihat Nabi mencium-cium cucunya yang bernama Hasan, Aqra' bin Habis al-Tamimi berkata:

"Aku ada 10 org anak, tetapi tidak pernah mencium mereka"

Lalu Nabi membalas:

من لا يَرحم لا يُرحم

"Barangsiapa tidak mengasihi, dia tidak dikasihi" - Muttafaq alaih.

Moral:

• Menzahirkan kasih sayang kepada yang kecil & menunjukkan penghargaan kepada sahabat-sahabatnya adalah sunnah Nabi.

• Tidak wajar menyembunyikan kasih sayang kerana sensasinya perlu dirasai oleh anak-anak bagi keperluan jiwa mereka.

• Kasih sayang, menghargai & rasa hormat perlu ditunjukkan oleh orang tua atau orang atasan terlebih dahulu. Kemudian barulah nilai-nilai yang baik itu dapat dicontohi.

• Fitrah manusia adalah mengasihi yang kecil. Ia adalah fitrah, tidak perlu diajar secara khusus. Adapun mendera mereka, bukanlah fitrah manusia yang normal.

• Kejadian dera & bunuh menggambarkan nilai kemanusiaan segelintir manusia zaman sekarang yang sedang bermasalah.

Abdul Mu'izz Muhammad
31 Januari 2021.
AMARAN JAHILIYYAH.

Penyair Arab jahiliyyah yang terkenal bernama Amru bin Kalthum pernah mengungkapkan:

ألا لا يجهلن أحد علينا فنجهل فوق جهل الجاهلينا

"Ketahuilah, jangan sama sekali seorang pun berani berlaku jahil ke atas kami. Maka kami pasti akan bertindak balas lebih dari kadar kejahilan orang-orang yang jahil"

Bait syair seumpama ini menterjemahkan sikap jahiliyyah masyarakat Arab yang tekad membalas dendam secara berganda tanpa pertimbangan moral. Pemikiran mereka lebih tertumpu menjaga qabilah mereka sahaja, bukan berpandukan sistem nilai yang seragam.

Bagi mereka, jika sebarang salah laku itu tidak menyentuh kepentingan qabilah mereka, maka ia dianggap tidak mengapa. Namun jika perkara tersebut menggugat kepentingan mereka, maka amarah mereka akan meledak & sanggup mengamuk lantas bertindak apa sahaja.

Walaupun syair Amru bin Kalthum di atas mewakili logik pemikiran masyarakat Arab jahiliyyah, namun cara fikir sedemikian masih lagi hidup dalam kalangan orang Islam. Disebabkan itu Allah mengaitkan adil dengan taqwa, sebagai melambangkan nilai Islam seseorang.

Abdul Mu'izz Muhammad
8 Februari 2021.
AIDS HARAKI.

Buku Ihzaru al-Aids al-Haraki yang bermaksud Berwaspadalah Dengan Penyakit Aids Haraki adalah kritikan tajam Ustaz Fathi Yakan terhadap kepincangan yang berlaku dalam gerakan Islam. Ia adalah hasil pemerhatian & pengalaman beliau sendiri yang bergelumang penuh dalam dunia da'wah & politik.

Aids merupakan penyakit yang diperolehi dari cara hidup yang suka bersedap-sedapan. Lalu menyebabkan penghidapnya hilang daya tahan & akhirnya mati sendiri secara perlahan-lahan. Ustaz Fathi Yakan memilih istilah penyakit yang mereputkan itu sebagai bandingan bagi masalah jati diri yang dialami oleh sesebuah gerakan Islam.

Jati Diri.

Masalah yang paling awal dinyatakan oleh Ustaz Fathi Yakan adalah, kondisi jati diri sesebuah gerakan Islam yang tidak cukup kukuh. Ia tidak didirikan di atas asas pemikiran & prinsip yang konkrit serta hala tuju yang jelas.

Sebaliknya ia banyak dibentuk dari sikap fanatik terhadap ketokohan tertentu, atau kepentingan material yang kelak menjadi perebutan antara satu sama lain. Dari gejala tersebut menyebabkan asas kebersamaan dalam sesebuah gerakan menjadi sangat rapuh.

Mementingkan Kuantiti Lebih Dari Kualiti.

Barangkali terkesan dengan corak sistem demokrasi yang menuntut bilangan angka pengundi, gerakan Islam semakin lama semakin lupa soal kualiti yang perlu dibentuk. Sedangkan jika difikirkan secara mendalam, dengan hanya memiliki ahli yang ramai tetapi tidak mampu menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat, serta tidak berupaya menjadi juru bicara yang berkesan, menyebabkan angka yang ramai itu hakikatnya tetap belum cukup signifikan.

Maka sebenarnya nas-nas yang menekankan soal kualiti itu tetap relevan, walaupun dalam konteks persaingan demokrasi. Dalam persoalan ini, Ustaz Fathi Yakan mengingatkan akan sirah para sahabat yang merasa terlebih yakin dengan ramainya bilangan tentera Islam.

Apabila merasa ramai, menyebabkan terbit rasa angkuh & keluarlah cakap-cakap besar yang sekaligus merapuhkan nilai kebergantungan dengan Allah. Dalam kondisi ketika gerakan Islam memiliki ahli yang terlalu ramai tetapi tidak diterapkan kesedaran yang kritis, menyebabkan kelak pengaruh yang besar itu boleh dipergunakan oleh pihak lain. Hal seumpama ini telah berlaku di negara-negara Arab.

Tergadai Oleh Pihak Luar.

Sikap sambil lewa mendedahkan diri menerima tawaran dari pihak luar adalah kesilapan yang banyak menghancurkan kredibiliti sesebuah gerakan Islam. Tawaran seperti peluang posisi politik, suapan kewangan atau jaminan perlindungan akan mengakibatkan sesebuah gerakan Islam itu mampu dikawal oleh pihak luar yang menajanya.

Implikasi dari gejala suka mengambil kesenangan bersifat jangka masa pendek itu, gerakan Islam akan hilang nilai kemandiriannya, lantas berada di bawah pengaruh pihak asing. Ustaz Fathi Yakan mengingatkan mentaliti 'orang bagi kita ambil' ini sebagai faktor bagaimana gerakan Islam akhirnya secara tanpa sedar, menjadi proksi bagi pihak yang telah lama membiayai segelintir kelompok Islamis secara lunak.

Beliau turut mengingatkan berapa banyak gerakan Islam yang hilang nilai kerana berjaya dibeli dengan wang kertas & bantuan persenjataan. Begitu juga beliau mengingatkan ancaman dari badan-badan perisikan yang sentiasa cuba merosakkan gerakan Islam.

Badan-badan perisikan akan menganalisa titik-titik kelemahan yang ada pada sesebuah gerakan Islam. Kemudian mereka menawarkan dukungan palsu & akhirnya mereka akan hancurkan hingga lebur.

Dari peluang-peluang yang disebutkan di atas, sudah pasti akan memunculkan krisis & konflik atas faktor perebutan kepentingan sesama sendiri. Pada masa sama, kelompok yang cuba mencegah perangkap tersebut akan dimangsakan. Ketika itu yang berlegar dalam cakap-cakap sesama ahli gerakan Islam, adalah sekitar topik-topik kepentingan politik semata-mata.

Ancaman Perisikan Luar.
Seringkali campur tangan pihak luar itulah yang menjadi punca lahirnya perpecahan. Kadang-kadang jika dinilai kembali, punca perpecahan pun seakan tidak jelas. Ia sesuai dengan sifatnya sebagai propaganda adu domba yang datang dari perencanaan pihak luar.

Bahkan mereka boleh sahaja mencipta kelompok-kelompok tertentu di dalam sesebuah gerakan Islam. Sama ada penggeraknya dalam kalangan mereka sendiri, atau ahli-ahli gerakan Islam tanpa sedar didorong secara lunak hasil manipulasi emosi berdasarkan kajian psikologi mereka.

Malangnya kesedaran terhadap topik-topik seperti ini semakin dijauhkan dari wacana gerakan Islam. Malah jika ditimbulkan, akan dianggap sebagai paranoid. Secara logiknya, eskapisme seumpama ini tidak berlaku dengan sendirinya, melainkan ada pencatur yang mencorak kelalaian tersebut.

Penulis buku Soldier of Reason, Alex Abella menyatakan hasil dari kajian Rand Corporation terhadap corak kumpulan-kumpulan & parti-parti politik, mereka merumuskan bahawa hakikatnya semua pihak hanyalah menginginkan keuntungan peribadi sahaja. Gagasan, ideologi & slogan hanya sekadar bahan kempen untuk mendapatkan kepentingan peribadi masing-masing. Gejala sedemikian dilihat selari dengan kritikan Ustaz Fathi Yakan sendiri dalam bukunya, Apa Erti Saya Menganut Islam.

Disebabkan itu, badan-badan perisikan gemar memancing dana untuk menguasai sesebuah gerakan. William Blum dalam bukunya bertajuk Rogue State menceritakan bagaimana badan perisikan AS membiayai Islamis yang tidak terdedah dengan kesedaran berkenaan ancaman intelligence. Selepas mereka dibiayai & dipergunakan, mereka pasti akan dihancurkan.

Hal yang sama telah ditunjukkan dalam sejarah peranan Ali Moertopo. Beliau terkenal dengan strategi 'pancing & jaring', iaitu menawarkan pembiayaan & posisi kepada kumpulan-kumpulan Islam. Setelah mangsanya diberi perasaan 'menang', ketika itulah rentapan yang menghancurkan berlaku.

Setakat tinjauan sejarah gerakan Islam moden, tidak pernah didapati sikap oportunis 'orang bagi kita ambil' ini menghasilkan kekuatan bersifat jangka masa panjang. Melainkan ia akan menatijahkan implikasi-implikasi yang buruk lagi mereputkan.

Gopoh Ingin Mendapatkan Kuasa.

Ustaz Fathi Yakan menyatakan bahawa sikap tergesa-gesa ingin mendapatkan kemenangan tanpa diimbangi dengan persediaan yang mencukupi, akan memberi kesan kepada kredibiliti sesebuah gerakan Islam. Dalam bahasa hadith, disebut sebagai isti'jal.

Sebahagian dari gerakan Islam juga ditimpa bencana apabila terlibat dalam operasi-operasi subversif terhadap kerajaan, lalu menjadi alasan untuk ia diharamkan. Perkara seumpama ini banyak berlaku di negara-negara Arab.

Kegopohan-kegopohan seumpama ini, merosakkan reputasi gerakan Islam di mata umat & rakyat. Mungkin jarang diperbahaskan apakah implikasi sekiranya gerakan Islam hanya menang meraih kuasa politik, tetapi umat tidak mempercayainya & tidak mendukungnya atas dasar kefahaman yang tulen.

Tidak Kritis Melihat Senario.

Ustaz Fathi Yakan mengingatkan bahawa lemah atau tiadanya kesedaran politik yang hakiki menyebabkan sesebuah gerakan itu akan lemah daya rasionalnya. Kesedaran politik di sini bukan bermaksud sekadar mampu berbual ala-ala sembang kedai kopi seputar isu-isu politik sahaja.

Sebaliknya yang dimaksudkan adalah, tidak mampu menganalisa & membuat jangkaan-jangkaan yang realistik di sebalik senario politik yang berlaku. Masalah ini semakin membarah jika amalan cuba berfikir, bertanya & berdialog itu dipandang negatif dalam budaya gerakan Islam.

Barangkali tabiat ahli gerakan Islam yang lebih selesa hidup dalam kelompok sendiri, menyebabkan berlakunya kesan echo chamber terhadap paradigma mereka. Sekaligus menjauhkan mereka dengan realiti yang sebenar.

Refleksi.

Dalam buku Aids Haraki, Ustaz Fathi Yakan merumuskan betapa gerakan Islam perlu secara jujur benar-benar serius dengan Islam. Mewarisi ilmu, hujah, sikap, kefahaman & amalan, selari dengan orientasi perjuangan yang telah digariskan oleh Islam.
Sebenarnya sangat banyak tulisan dari tokoh gerakan Islam, yang mengkritik kelemahan bersifat dalaman yang dialami oleh gerakan-gerakan Islam itu sendiri. Sebahagian apa yang telah mereka alami, mungkin sedang dialami oleh gerakan-gerakan Islam yang lain pula. Muslim yang bijak adalah mereka yang sentiasa mengambil pengajaran.

Abdul Mu'izz Muhammad
18 Februari 2021.

_________________________
Baca juga berkenaan:

• Sejarah Ali Moertopo memerangkap kumpulan-kumpulan Islam Indonesia:

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1743648502332585&id=100000623571778

• Barah fanatisme dalam kumpulan Islam oleh Syeikh Abdul Rahman Hasan Habannakah:

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3466184933412258&id=100000623571778

• Budaya negatif yang melemahkan tanzim umat Islam menurut Syeikh Raisuni:

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2873466166017474&id=100000623571778
BAGAIMANA UTHMANIYYAH TERHERET KE KANCAH WW1.

Uthmaniyyah diheret ke kancah Perang Dunia Pertama yang berlangsung pada 1914-1918 agar bersama dengan blok Jerman. Dalam keadaan serba lemah, seeloknya Uthmaniyyah berkecuali kerana konflik utama yang berlaku asalnya adalah antara British, Perancis, Russia & Jerman.

Ada Yang Berpakat Dalam Gelap.

Pembesar yang lahir dari rahim Ittihad wa Taraqi (CUP) bernama Tal'at Pasha & Enver Pasha berusaha mengheret Uthmaniyyah untuk segera menyertai peperangan bersama Jerman. Mereka berdua pun membuat perjanjian sulit dengan Jerman, kononnya sebagai mewakili Uthmaniyyah.

Kemudian Sultan Mehmed V Reshad bersetuju dengan penyertaan tersebut atas susunan naratif mereka berdua, lalu menerima bayaran yang lumayan dari Jerman. Dari tindakan itu, Uthmaniyyah yang sudah sedia lemah, terheret ke dalam WW1.

Rela Menjadi Benteng Pihak Lain.

Dari sejarah ini, kita mempelajari terkadang berkecuali itu perlu. Apatah lagi jika pertembungan yang berlaku, asalnya tidak melibatkan kita. Selalunya sudah pasti ada pihak yang ingin menggunakan kita untuk dijadikan benteng demi kepentingan mereka. Dalam situasi tersebut, elok berkecuali.

Atas keghairahan politikus Uthmaniyyah yang mengira laba dari Jerman & berminda sempit hanya mahu menumpang blok orang, akhirnya tidak pasal-pasal Uthmaniyyah berkongsi risiko apabila menyertai WW1 bersama Jerman. Lantas Uthmaniyyah menanggung kekalahan bersama Jerman.

Risiko.

Setelah itu Jerman bangkit semula & berdaya mencetuskan WW2. Sementara Uthmaniyyah pula telah lebur.

Gambar di bawah adalah kartun satira politik Austria yang merupakan sekutu Jerman ketika itu. Kelihatan bagaimana Uthmaniyyah diimejkan hanya sebagai budak dari pandangan mereka. Tertulis "Wir halten durch!" yang bermaksud "Kami jaga pakatan ini & cuba bertahan hingga ke akhirnya"

Abdul Mu'izz Muhammad
5 Mac 2021.
BUDAYA CACI MAKI POLITIK, MARI KITA SEPAKAT DENGAN LOGIK YANG SERAGAM.

Seakan sudah menjadi lumrah, budaya politik disuburkan dengan caci maki terhadap pihak seteru atau pesaing yang sedang dihadapi. Ia akan memanaskan atmosfera politik & bertujuan mengundang tindak balas dari pihak yang diprovok.

Fungsi Caci Maki Dalam Politik.

Selalunya caci maki itu disensasikan demi melempias geram sahaja. Adakalanya ia dihamburkan sebagai sekadar simbol & pembuktian, betapa tegarnya dukungan yang diberi. Kemudian 'persembahan' tersebut diiringi dengan sorakan sesama sendiri.

Hal sedemikian boleh dinilai, kerana terkadang alasan caci maki itu terlalu rapuh & gaya marah itu kelihatan terlalu dibuat-buat. Dalam kata lain, marahnya tidak sepadan dengan isu sebenar. Bahkan caci maki & gertakan seumpama itu tidak mengarah kepada perbahasan isu yang sebenar pun.

Budaya seperti ini selalunya diajar oleh pembesar masing-masing, sama ada secara langsung atau secara dorongan tidak langsung. Lantas ia disambut oleh pengikut mereka dengan sepenuh emosi. Sedangkan caci maki itu hanyalah bertujuan sebagai acid test atau test market sahaja.

Disebabkan itu kerap kali kita mendapati selepas bergaduh, pembesar-pembesar yang telah merangsang budaya caci maki itu boleh santai lepak-lepak bersama atas nama kematangan berpolitik, kerana kemarahan yang ditunjukkan sebelumnya tidak bersifat tulen. Sedangkan pengikut-pengikut yang telah melaburkan sepenuh emosi sebelumnya, terpinga-pinga & terpaksa mengakui bahawa merekalah yang tidak matang.

Tidak syak, tabiat seperti inilah yang melatari budaya Arab ketika zaman jahiliyyah mereka. Datangnya Islam membawa budaya berhujah & debat secara terbuka. Kematangan tersebut sebagai nilai asas bagi membina peradaban Islam.

Logik Dari Wahyu.

Mari kita melihat panduan wahyu. Sekalipun nas-nas yang diseratakan menyentuh permasalahan lebih besar, namun nilai logik betapa perlunya saling menghormati amat terpakai dalam semua perkara. Antaranya adalah:

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ

"Dan janganlah kamu mencaci golongan yang menyeru kepada tuhan selain Allah. Maka (kesannya) akan menyebabkan mereka mencaci Allah sebagai permusuhan tanpa ilmu" - al-An'am 108.

Begitu juga pesanan Nabi berkenaan perbuatan yang menatijahkan ibu bapa sendiri dicaci:

يَسُبُّ الرَّجُلُ أَبَا الرَّجُلِ، فَيَسُبُّ أَبَاهُ، وَيَسُبُّ أَمَّهُ

"(Apabila) seseorang mencaci ayah orang lain. Maka orang itu pun membalas cacian tersebut dengan mencaci ayahnya & mencaci ibunya" - hr Bukhari & Muslim.

Matang & Sejahtera.

Dengan pedoman dari wahyu yang telah dinyatakan di atas, kita perlu faham bahawa jika kita tidak menjaga bahasa atau gagal memperuntukkan penghormatan kepada pihak lain, maka perbuatan itu hanya merangsang tindak balas dari mereka agar tokoh & kumpulan yang kita muliakan dihina kembali. Jika kita tidak suka dihina, maka kita jangan menghina.

Yang perlu kita sedari adalah, jika kita menganggap tokoh sanjungan kita sangat mulia, orang lain pun menganggap tokoh sanjungan mereka sangat mulia juga. Maka dengan menghamburkan penghinaan, tidak akan merasionalkan konflik yang berlaku.

Justeru jika kita sayangkan tokoh kita atau parti dukungan kita, maka kita perlu memperuntukkan penghormatan kepada pihak lain. Agar mereka turut merasai maruah yang sedang kita pelihara & dapat mewujudkan kesedaran saling menghormati antara satu sama lain.

Abdul Mu'izz Muhammad
12 Mac 2021.
PELAJARAN BERNEGARA DARI SURAH QURAISY.

Surah Quraisy menceritakan berkenaan survival hidup yang dijalankan oleh masyarakat Arab Quraisy. Dari nikmat kehidupan di tengah-tengah kawasan yang tandus, Allah menyuruh mereka agar bersyukur kepadaNya.

الَّذِي أَطْعَمَهُم مِّن جُوعٍ وَآمَنَهُم مِّنْ خَوْفٍ

"Tuhan yang memberi mereka kehidupan, yang menyelamatkan mereka dari kelaparan & mengamankan mereka dari ketakutan" - surah Quraisy 4.

Melalui ayat ini, kita dapat memahami bahawa faktor kestabilan sesebuah negara mestilah memiliki:

• Ekonomi yang mencukupi bagi keperluan rakyatnya
• Politik yang mengamankan.

Ekoran dari pergelutan politik yang berpanjangan & bencana Covid-19 yang melanda, rakyat Malaysia seakan-akan telah ditarik dua nikmat tersebut. Selain dari berusaha pada kadar kemampuan sebagai manusia, Allah turut menggesa kita agar benar-benar kembali kepadaNya.

Abdul Mu'izz Muhammad
11 Mei 2021.
Isu-isu umat perlu sentiasa diikuti dengan serius. Iaitu mengikutinya secara tanpa bermusim, agar kita boleh mencerap senario yang berlaku dengan gambaran yang menyeluruh & berjangka masa panjang.

Adalah menjadi masalah jika kita mengikuti isu umat secara bermusim. Kerana sewaktu ia sedang meletus, yang banyak tersebar ketika itu sebahagiannya adalah propaganda yang boleh menyimpangkan kefahaman kita, atau mengakibatkan kita didorong ke arah naratif yang telah direncanakan.

Abdul Mu'izz Muhammad
25 Mei 2021.
PLAY VICTIM DI ZAMAN FITNAH.

Mendakwa perkara yang benar itu sebagai fitnah, adalah fitnah. Bagi golongan munafiqin, fitnah bagi mereka hanyalah bermaksud apa-apa yang menggugat reputasi mereka sekalipun ianya benar. Jika diperiksa satu persatu fakta kes & isu, ternyata yang dikatakan fitnah itu hakikatnya benar. Hal sedemikian cukup banyak berlaku, khususnya dalam dunia politik.

Jika kita merujuk al-Quran, sejarah awal hipokrasi Bani Israel pun dimulakan dengan play victim. Adik beradik Nabi Yusuf riuh menangis demi meraih simpati & kepercayaan orang ramai setelah melakukan kesalahan. Malah adik beradik Nabi Yusuf itu menggandakan play victim mereka dengan mendakwa kononnya ayah mereka, Nabi Ya'qub suka bersangka buruk terhadap mereka.

Pernah terbaca satu tulisan bahawa realitinya sifat mangsa fitnah itu selalunya tidak pandai play victim, kerana fokusnya hanya mahu keluar dari belenggu fitnah. Dia akan hanya berfikir bagaimana mahu menstabilkan mentalnya & meminimakan potensi dari terus dimangsakan. Rumusan ini ternyata benar jika kita bandingkan dengan kisah Nabi Yusuf.

Sementara yang riuh mengaplikasikan play victim itu selalunya adalah pemangsa yang sebenar. Berdasarkan pengalaman sendiri, itu jugalah realiti yang sangat kerap berlaku. Sememangnya di zaman fitnah, retorik orang-orang yang jahat itu boleh jadi dominan kerana hipokrasi telah lama dipupuk & dianggap wajar.

Abdul Mu'izz Muhammad
7 Jun 2021.
SUMBER ALIRAN KEROHANIAN YANG MELAMPAU.

Apabila kita melihat polemik yang sering ditimbulkan oleh golongan sufi yang ghuluw (melampau), kita pasti akan mendapati sumber hukum serta penilaian mereka berbeza dengan apa yang dipegang oleh kebanyakkan umat Islam. Seakan-akan ada dua set sandaran yang sama sekali berbeza antara kita & mereka.

Perbezaan epistemologi inilah yang akan kekal menatijahkan polemik demi polemik, apatah lagi jika ia melibatkan kepercayaan. Yang lebih membimbangkan adalah, kekeliruan-kekeliruan yang mereka timbulkan dianggap kononnya masih berlegar dalam ruang khilaf yang perlu diraikan, sekalipun pendalilan-pendalilan yang dikemukakan itu menambah keliru atas keliru.

Pengalaman Spiritual Dijadikan Dalil.

Sayyid Abdul Maqsud Abdul Rahim dalam ensiklopedianya yang berjudul Mausu'ah Min Bida' al-Sufiyyah merumuskan bahawa sumber rujukan golongan sufi yang ghuluw tidak akan lari dari dakwaan-dakwaan berupa kasyaf. Pengalaman-pengalaman spiritual itu merangkumi:

• Dakwaan melihat Nabi secara nyata atau mimpi: Hal ini akan menimbulkan masalah apabila mereka menjadikannya sebagai hujah yang perlu diterima oleh orang ramai. Implikasi yang lebih buruk adalah, memunculkan ajaran baharu atas nama Nabi.

• Dakwaan berjumpa dengan Khadir: Dari pertemuan yang didakwa itu, mereka menyandarkan kononnya amalan-amalan yang diamalkan itu diajar oleh Khadir secara khusus.

• Ilham & firasat: Dakwaan-dakwaan seumpama itu diangkat sebagai dalil agama.

• Hawatif: Mereka mendakwa terdengar suara-suara ghaib yang dipercayai suara dari Tuhan, malaikat, jin yang soleh atau wali-wali yang mereka inspirasikan. Dakwaan pengalaman spiritual seumpama itu dijadikan sebagai hujah & adakalanya dianggap sebagai bukti kenaikan darjat tokoh-tokoh mereka.

• Isra' dan Mi'raj: Dakwaan kononnya roh para wali menurut kepercayaan mereka boleh naik ke alam yang tinggi kemudian pulang membawa beraneka ilmu.

• Kasyaf Hissi: Dakwaan beroleh akses melihat hakikat kepada perkara-perkara ghaib, lalu mempercayainya & dijadikan sebagai hujah.

• Mimpi: Mereka kerap berdalilkan mimpi lalu menjadikannya sebagai sandaran bagi mengambil hukum syara' & menjustifikasikan sesuatu.

• Zauq: Menjadikan elemen rasa sebagai penentu sama ada sesuatu itu benar atau tidak, wajar diikuti atau dijauhi. Risiko dari pegangan sedemikian, mereka mudah terperangkap dengan rasa ketenangan, kebahagiaan & rasa benar yang palsu. Hal ini kerana, berapa ramai pengamal agama & ajaran sesat mendakwa kononnya hati mereka sangat tenang & rasa bertuhan itu amat kuat. Sedangkan jika dinilai secara ilmu, terdapat kepincangan.

Tidak Menjadikan Sesuatu Yang Bukan Dalil Itu Sebagai Dalil.

Setelah kita memahami dasar serta sumber pengambilan hukum & kepercayaan mereka, kita akan sedar mengapa pegangan-pegangan mereka selalunya aneh. Bahkan ia sukar ditimbang dengan al-Quran & hadith dengan metodologi yang sah, kerana sumber yang menjadi titik mula wacana antara kita & mereka pun sama sekali berbeza.

Dalam hal ini, Imam Hasan al-Banna ada mengemukakan penjelasan yang sangat sederhana supaya kita beragama secara murni. Dalam usul beliau yang ketiga dinyatakan:

"Bagi iman yang benar, ibadat yang sahih & mujahadah (melakukan ketaatan), terdapat cahaya & kemanisan yang dikurniakan oleh Allah ke dalam hati hamba-hambanya menurut yang Dia kehendaki. Namun ilham, lintasan hati, kasyaf & mimpi bukanlah dalil-dalil bagi hukum syara'. Ia tidak diambil kira melainkan dengan syarat tidak bertembung dengan hukum agama & nas-nasnya"

Abdul Mu'izz Muhammad
8 Februari 2022.
APA PERLUNYA FALSAFAH?

Ramai yang salah faham apabila disebutkan berkenaan berfikir secara berfalsafah. Selalunya mereka akan terbayang wajah-wajah ahli falsafah Yunani yang berjanggut kemudian sembang perkara-perkara yang tidak terjangkau dek fikiran awam.

Sedangkan kandungan makna di sebalik falsafah itu adalah komitmen berfikir secara rasional bukan emosional. Rasional yang dimaksudkan termasuklah kritikal, integral, universal & fundamental. Maka jika itu maksudnya, ia tidaklah bercanggah dengan aspirasi agama.

Bahkan ia selari dengan gesaan agar berpegang dengan fundamental wahyu & berfikir dengan akal yang sihat. Memusuhi falsafah menyebabkan kita gagal memperhalusi perang pemikiran & permasalahan semasa, kerana cenderung dengan cara fikir simplistik & penilaian secara emosional.

Lantas segelintir umat Islam mudah didorong-dorong ke arah agenda yang telah direncanakan oleh musuh kerana sukar memahami realiti dunia yang rencam. Disebabkan itu untuk memahami kerencaman tersebut, kita perlukan falsafah.

Abdul Mu'izz Muhammad
29 Jun 2022.
HTML Embed Code:
2025/06/29 06:52:37
Back to Top